6 Tahun Berkahwin, Akhirnya Terbongkar Suami Isteri Rupanya Sepupu Kedua
Selepas enam tahun mendirikan rumah tangga, sepasang suami isteri di Kaohsiung, Taiwan, dikejutkan mengenai hubungan sebenar mereka.
Rupa-rupanya, nenek kedua-dua mereka adalah adik-beradik, menjadikan pasangan itu sebagai sepupu kedua (dua pupu).
Pasangan tersebut kemudian memfailkan permohonan di mahkamah bagi membatalkan perkahwinan mereka.
Menurut laporan ETtoday, mereka bernikah pada 31 Oktober 2018 dan hidup bahagia selama enam tahun tanpa sebarang masalah. Namun semuanya berubah apabila si suami membuat semakan rekod pendaftaran keluarga.
Melalui pencarian tersebut, dia terkejut apabila mendapati nenek sebelah ibu (maternal) dirinya dan nenek sebelah bapa (paternal) isterinya merupakan adik-beradik.
Di bawah undang-undang Taiwan, perkahwinan antara individu yang mempunyai pertalian darah dalam kadar enam darjah kekerabatan adalah dilarang.
Pasangan tersebut kemudian bimbang akan implikasi undang-undang, termasuk isu nafkah dan hak pewarisan, lapor Mirror Media.
Si suami akhirnya membawa perkara itu ke mahkamah untuk pengesahan hubungan kekeluargaan dan memohon agar perkahwinan mereka dibatalkan.
Selepas siasatan, Mahkamah Kanak-Kanak dan Keluarga Kaohsiung mengesahkan bahawa mereka memang mempunyai pertalian dua pupu.
Mahkamah kemudiannya membatalkan perkahwinan tersebut pada Ogos lalu.
Menurut ETtoday, si isteri tidak membantah permohonan suaminya dan bersetuju dengan pembatalan itu.
Kedua-dua pihak turut melepaskan hak untuk membuat rayuan, menjadikan keputusan tersebut muktamad.
