Nubhan Dah Cuba Pertahankan Rumah Tangga, Isteri Tahu Punca Fail Cerai
Penyanyi dan dan usahawan, Ahmad Nubhan akhirnya tampil menjelaskan perkara sebenar mengenai kemelut rumah tangganya dengan isteri, Dr Afifah Hidayah Ahmad Tawfek.
Menurut Nubhan, keputusan untuk berpisah bukanlah sesuatu yang dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas melalui tempoh panjang mempertimbangkan pelbagai aspek dan usaha memperbaiki hubungan yang dibina selama lebih 10 tahun.
“Ini bukan keputusan yang mudah. Saya sudah lama fikirkan hal ini dan cuba sedaya upaya menyelamatkan perkahwinan kami.
“Jadi apabila dia kata tidak tahu punca perceraian, saya rasa itu agak mustahil kerana kami pernah berbincang dan mencari jalan penyelesaian bersama,” katanya.
Tambah bekas peserta Akademi Fantasia 6 (AF6) itu, sebelum membuat keputusan tersebut, dia pernah berbincang dengan keluarga termasuk bapa dan ibu saudara isterinya serta berjumpa dengan pakar rumah tangga bagi mendapatkan pandangan.
“Saya enggan panjangkan isu ini kerana tidak mahu menimbulkan salah faham. Selepas hidup bersama selama sedekad, biarlah sebahagian perkara itu kekal antara kami saja,” ujarnya lagi.
Nubhan juga menegaskan dia telah melakukan yang terbaik untuk mempertahankan rumah tangga demi anak-anak, namun akhirnya terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi.
“Saya sudah bertahan selama 10 tahun. Kami bukan tidak cuba memperbaiki keadaan, tapi mungkin sampai di sini sahaja jodoh kami.
“Saya reda. Sepanjang menjadi suami, saya tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dan kasih sayang terhadap keluarga,” luahnya lagi.
Ketika diminta mengulas lanjut mengenai punca sebenar perceraian yang berlaku di luar mahkamah pada 26 Ogos lalu, Nubhan memilih untuk tidak memberi sebarang komen.
Mengenai isu kediaman di Southville, Dengkil yang didakwa isterinya sebagai rumah milik mereka, Nubhan menjelaskan itu hanya rumah sewa.
“Rumah itu bukan milik kami, saya cuma menyewa. Ketika keadaan tegang, saya ambil keputusan untuk keluar bagi menenangkan fikiran.
“Saya tidak mahu anak-anak menjadi saksi kepada pertelingkahan kami. Lebih baik saya menjauh demi menjaga emosi mereka,” katanya.
Untuk rekod, pasangan itu berkahwin pada 29 Ogos 2015 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Aafiya (8), Ahmad Aaffan (6) dan Afzan Nayille (3).
Sebelum ini, Nubhan pernah melafazkan cerai pada 2017 namun mereka kembali rujuk tiga hari kemudian.
Lafaz cerai kali kedua dibuat pada 26 Ogos lalu dan kes pengesahan perceraian kini masih dalam proses di Mahkamah Rendah Syariah Sepang. Prosiding seterusnya dijadualkan pada 2 Disember depan.
Dalam prosiding sebelum ini pada 16 Oktober, mahkamah turut membincangkan permohonan pihak defendan, Dr Afifah, untuk mengesahkan lafaz cerai pertama yang berlaku lapan tahun lalu serta proses rujuk selepas itu.
