‘Bukan Kelab Malam, Majlis Hari Jadi’ – Beego
Pelakon , Beego tampil menjernihkan salah faham berhubung video tular yang mendakwa dirinya sedang berhibur di sebuah kelab malam sekitar Ogos lalu.
Menurut pemikik nama sebenar Mohamad Aszerul Nizam Abdullah, rakaman tersebut sebenarnya diambil ketika dia menghadiri majlis hari jadi seorang rakan di sebuah pusat karaoke eksklusif.
“Saya sudah lama tidak jejak kaki ke kelab malam. Video tersebut sebenarnya masa saya pergi sambutan hari jadi kawan, dibuat secara tertutup di pusat karaoke.
“Saya bukan budak-budak nak pergi kelab malam. Tempat majlis hari jadi itu pun high end, bukan kelab malam,” katanya.
Dalam pada itu, Beego menegaskan, video yang tersebar itu juga bukan kejadian baharu sebaliknya sudah beberapa tahun lepas.
“Saya memang ramai kawan dari macam-macam negeri. Bila mereka datang KL dan buat majlis hari jadi anak-anak, saya rasa tak salah pun kalau saya hadir. Video yang orang sebarkan dah lama, bukan sekarang,” jelasnya.
Dalam masa sama, Beego menolak dakwaan konon isterinya, Linda Hashim yang menyebarkan video berkenaan bagi memburukkan namanya.
“Saya tak rasa Linda buat begitu. Tapi mungkin orang sekeliling yang jadi mata-mata.
“Saya pun tak kisah sebab bagi saya, syaitan yang nyata kadang-kadang lebih jahat sampai boleh rosakkan rumah tangga orang,” katanya lagi.
Terdahulu, sekitar Ogos lalu, sebuah portal melaporkan tentang seorang artis lelaki yang dikatakan berhibur di kelab malam bersama beberapa rakan termasuk wanita dikala rumah tangga sedang bergolak.
Rentetan itu, nama Beego tiba-tiba dipetik susulan kes perceraiannya dengan Linda masih berjalan.
Untuk rekod, Linda memfailkan perceraian terhadap Beego pada awal Januari lalu atas alasan tiada persefahaman.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013 dan dikurniakan tiga cahaya mata.
