Susah Didik Pelajar Zaman Sekarang, Jentik Telinga Pun Kena Repot
Menjadi seorang guru pada zaman sekarang bukanlah satu tugas mudah. Selain perlu berdepan dengan kerenah pelajar, ada juga guru yang terpaksa berhadapan dengan ibu bapa overprotective, yang menganggap anak mereka tidak pernah melakukan kesalahan.
Baru-baru ini, satu hantaran di Thread tular selepas seorang guru berkongsi yang dia telah dipanggil oleh pihak pentadbiran sekolah hanya kerana menjentik telinga seorang murid yang enggan menyiapkan kerja sekolah.
“Saya dipanggil kerani sebab menjentik telinga pelajar. Kerja rumah yang saya beri dua bulan lepas masih tak siap.
“Lepas saya jentik, bapanya buat laporan. Sejak itu, saya biarkan saja pelajar tu,” tulis guru berkenaan.
Tangkapan layar mesej itu dikongsi oleh seorang guru lain yang tidak mendedahkan butiran penuh kejadian, namun menjelaskan bahawa ia mencerminkan apa yang ramai pendidik hadapi pada masa kini.
Ruangan komen kemudiannya dibanjiri warganet, terutamanya para guru yang berkongsi pengalaman sama, mengatakan bahawa semakin sukar untuk mendisiplinkan pelajar tanpa ‘dilaporkan’.
Seorang bekas guru menulis:
“Saya pernah mengajar sekolah menengah. Pelajar zaman sekarang rasa mereka dah besar, berani melawan. Sedangkan isu cuma kerja sekolah! Mereka berani sebab mereka tahu guru tak boleh sentuh mereka, dan ibu bapa pasti akan menyebelahi mereka.”
Seorang lagi guru turut berkongsi pengalaman:
“Semalam lagi teruk. Saya marah seorang murid sebab main gam atas meja, dia buat ‘slime’. Malam itu ibunya mesej saya, katanya cara saya marah mungkin buat anak dia tertekan dan tak nak ke sekolah lagi.”
Ramai turut bersimpati dengan nasib para guru, mengatakan bahawa cara keibubapaan sekarang terlalu memanjakan anak sehingga guru takut mengambil tindakan disiplin.
Ada juga yang menyeru agar ibu bapa lebih menghormati guru, sambil mengingatkan bahawa disiplin bukanlah penderaan, sebaliknya ia bertujuan mengajar anak rasa tanggungjawab dan hormat.
