Warga Emas Tular Sebab Hina Wanita Hamil Yang Enggan Beri Tempat Duduk
Seorang wanita warga emas di Taiwan mencetuskan kontroversi dalam talian selepas memarahi seorang penumpang hamil yang enggan memberikan tempat duduknya dalam tren.
Kejadian tersebut menjadi tular apabila insiden berkenaan dirakam oleh orang awam dan dimuat naik di laman sosial Facebook.
Dalam rakaman video tersebut, wanita warga emas berkenaan, yang memakai cermin mata dan pelindung matahari dilihat meminta seorang wanita muda yang duduk di kerusi keutamaan supaya memberikan tempat duduknya kepada seorang lelaki warga emas di berhampiran.
Wanita muda itu menjelaskan dia sedang hamil dan mengalami kecederaan lutut, menyebabkan dia tidak mampu berdiri atau memberikan tempat duduknya.
Tidak berputus asa, wanita warga emas itu kemudian menukar permintaannya dengan meminta anak wanita tersebut, yang duduk di sebelahnya, supaya mengosongkan tempat duduk.
Wanita muda itu, yang jelas berang, bertanya mengapa warga emas tersebut hanya menyoal dirinya dan anaknya, sedangkan terdapat penumpang muda lain duduk di kawasan yang sama.
Sebagai jawapan, wanita warga emas itu berkata semua tempat lain telah diduduki. Namun, jawapan itu menyebabkan wanita muda tersebut bertambah marah, lalu membalas: “Ada kerusi kosong ke dekat sini?” tanya wanita muda berkenaan.
Selepas beberapa saat berdiam, wanita warga emas itu tiba-tiba berkata dengan nada sinis: “Kalau ada hati nurani, fikir sendiri,” katanya.
Warga emas itu lalu menghina wanita itu dengan berkata: “Jangan beranak lagi. Anak kau pun nanti tak pandai dibesarkan,” marahnya seperti dilaporkan Liberty Times, ETtoday.
Video tersebut segera menjadi tular dan menerima kecaman luas daripada netizen.
Antara komen yang ditinggalkan:
“Cakap pasal hati nurani, tapi hina orang supaya jangan ada anak. Ironi betul.”
“Bukan warga emas semakin jahat, tapi orang jahat yang sudah menjadi tua.”
“Tempat duduk keutamaan untuk sesiapa yang memerlukannya, bukan hak eksklusif warga emas.”
.
