
Kereta Mewah & Barangan Berjenama Vida Akan Dilelong
Proses lelongan melibatkan kereta mewah dan ratusan barangan peribadi milik usahawan sensasi Datuk Seri Vida akhirnya dijadual berlangsung pada 30 Oktober ini selepas hampir setahun tertangguh.
Menurut notis perisytiharan jualan lelong yang disiarkan dalam sebuah akhbar tempatan, tindakan tersebut diambil oleh pemiutang, AH Design Communication Sdn. Bhd. terhadap Vida berikutan kegagalannya melunaskan tunggakan bayaran kepada syarikat berkenaan.
Difahamkan, Vida gagal menyelesaikan bayaran sebenar yang tertunggak kepada syarikat subkontraktor itu serta tidak mencapai persetujuan penyelesaian bersama.
Usahawan tersebut sebelum ini memohon penangguhan proses lelongan dengan alasan barangan yang disita adalah barangan pinjaman, namun mahkamah menolak permohonan itu selepas dia gagal mengemukakan bukti kukuh.
Pada 25 November tahun lalu, sebanyak 727 barangan peribadi milik Vida disita dalam operasi selama lima jam di banglo mewah miliknya terletak di Ipoh.
Antara barangan yang disenaraikan untuk dilelong termasuk empat buah kereta mewah, pembakar roti jenama Sharp, penapis air Coway, meja solek, peti sejuk dan pelbagai barangan isi rumah lain.
Sitaan dilakukan selepas Vida gagal menjelaskan baki tunggakan berjumlah lebih RM1 juta kepada AH Design Communication sejak tahun 2018.
Acara lelong sepatutnya diadakan pada 9 Disember tahun lalu, namun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penangguhan sementara sebelum kini ditetapkan semula untuk diteruskan hujung bulan ini.