
Lightstick QWER Didakwa Sama Seperti The Boyz, Kontroversi Berlarutan Hingga Ke Tindakan Undang-Undang
Kumpulan QWER terus menjual barangan rasmi (official merchandise) mereka, termasuk lightstick, meskipun berdepan kontroversi kerana didakwa mirip dengan lightstick milik kumpulan lelaki The Boyz.
Pada 29 September, QWER memuat naik notis mengenai koleksi barangan rasmi mereka, termasuk perincian tentang lightstick yang mencetuskan perdebatan tersebut.
“Produk ini tidak termasuk bateri. Setiap pembelian disertakan dengan satu pek bateri AAA (3 bateri setiap pek). Lokasi pengambilan dan waktu operasi kaunter juga disediakan,” tulis kenyataan berkenaan.
Kontroversi bermula selepas QWER mendedahkan lightstick rasmi untuk konsert jelajah dunia pertama mereka berjudul Location di Seoul, Korea Selatan.
Peminat segera menegur reka bentuknya kelihatan terlalu mirip dengan lightstick gaya pembesar suara (megaphone-style) yang digunakan oleh The Boyz sejak 2021.
Sebagai respons, agensi The Boyz, One Hundred berkata, mereka telah mengadakan perbincangan dengan pihak QWER.
“Selepas mengakui isu ini, kami telah mengadakan perbincangan dengan pihak QWER untuk meminta perubahan reka bentuk, namun tiada penyelesaian muktamad dicapai.
“Kami merancang mengambil langkah undang-undang bagi mengelak kejadian berulang,” ujar agensi berkenaan.
Agensi QWER, 3Y Corporation dan Prism Filter, segera membalas kenyataan tersebut.
“Kami amat kesal kerana pihak satu lagi tiba-tiba mengumumkan tindakan undang-undang sedangkan kami sedang cuba menyelesaikan isu ini secara baik.
Pasukan undang-undang kami, termasuk peguam dan peguam paten, telah meneliti lightstick ini berkali-kali dan mengesahkan tiada pelanggaran hak cipta atau isu lain,” ujar mereka.
Bagi mendamaikan pertikaian ini, Persatuan Penerbit Hiburan Korea (KEPA) tampil sebagai orang tengah.
“Kami akan bertindak secara neutral untuk memudahkan penyesuaian dan mediasi antara kedua-dua pihak serta mewujudkan langkah pencegahan berkesan.
Ini termasuk menubuhkan platform rasmi penyelesaian pertikaian, mengeluarkan kenyataan bersama, dan melancarkan kempen industri,” kata mereka.