
Anwar Ibrahim Gesa Israel Bebaskan 12 Rakyat Malaysia Yang Ditahan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menzahirkan kebimbangan dan menggesa pembebasan segera semua aktivis serta sukarelawan Malaysia yang ditahan tentera Israel selepas konvoi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas di perairan antarabangsa.
Menerusi hantaran di laman sosial rasmi, Anwar menegaskan penahanan tersebut adalah tidak berperikemanusiaan kerana misi itu membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Gaza yang ditindas.
“Saya menggesa agar semua aktivis serta sukarelawan Malaysia dan antarabangsa dibebaskan segera. Ini misi kemanusiaan yang membawa orang awam tidak bersenjata bersama bantuan penting untuk rakyat Gaza.
“Kerajaan akan lakukan yang terbaik bagi membebaskan warga Malaysia dalam tahanan. Dengan menyekat misi ini, Israel bukan sahaja memperlekeh hak asasi rakyat Palestin, malah menginjak nurani masyarakat dunia yang kini tidak lagi bersama mereka,” katanya.
Anwar menekankan Flotila GSF bukan sekadar konvoi bantuan, sebaliknya simbol perpaduan, solidariti dan kasih sayang umat manusia yang membawa sinar harapan kepada rakyat Palestin.
Beliau turut menegaskan Malaysia akan menggunakan segala saluran sah berasaskan undang-undang antarabangsa bagi menuntut pertanggungjawaban Israel, khususnya apabila keselamatan rakyat Malaysia terlibat.
“Keselamatan rakyat Malaysia menjadi keutamaan. Kita tidak akan bungkam tatkala hak dan maruah mereka dicabuli. Selagi hak dan aspirasi rakyat Palestin dinafikan, Malaysia kekal berdiri teguh mendesak agar kezaliman yang berlarutan sekian lama dihentikan,” tegasnya.
Sehingga kini, seramai 12 rakyat Malaysia dilaporkan ditahan secara tidak sah selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa pada pagi Khamis.
Antara yang ditahan termasuk artis dan aktivis seperti Heliza Helmi, Hazwani Helmi, Zizi Kirana, Farah Lee, serta sukarelawan lain iaitu Haikal Abdullah, Muaz Zainal, Zulfadhli Khairudin, Rusydi Ramli, Iylia Balqis, Musa Nuwayri, Sul Aidil dan Danish Nazran.