Seo Jang Hoon Dedah Yang Dirinya Sudah Lama Mempunyai Kekasih Rahsia?
Dalam siaran 25 September rancangan hiburan SBS One Shot Project – My Turn, episod 8, pelakon Lee Kyung Kyu bersama pengurusnya, Kim Won Hoon, turun padang untuk mencari pelabur bagi memastikan kejayaan kumpulan Ppongtan Boys.
Individu yang muncul di hadapan mereka ialah Lee Soo Ji, seorang wanita kaya yang dikatakan mirip pelakon Tang Wei.
Kim Won Hoon berkata: “Dia pernah melabur berbilion won dalam sebuah syarikat hiburan besar. Kalau kita berjaya pujuk dia hari ini, saya rasa kita boleh dapat jumlah yang sama,” katanya sekali gus menyuntik harapan kepada Lee Kyung Kyu.
Namun, ‘Tangtangi’ tidak membuat keputusan pelaburan dengan mudah.
“Saya berhati-hati bila melibatkan pelaburan. Saya tak boleh sewenang-wenangnya keluarkan duit. Saya dah telefon teman lelaki saya orang Korea. Saya akan buat keputusan bila dia sampai,” katanya.
Teman lelaki itu rupa-rupanya Seo Jang Hoon.
“Jangan beritahu sesiapa. Kami dah bersama agak lama,” Jang Hoon mendedahkan bahawa mereka telah bercinta secara rahsia selama setahun.
Lee Soo Ji malah cuba mencium Seo untuk menunjukkan kasih sayangnya, dan Seo menambah, “Kami lebih bercinta daripada yang orang fikir,” sambil meluahkan perasaan secara terbuka.
Seo Jang Hoon turut menunjukkan sikap positif terhadap pelaburan dalam Ppongtan Boys.
“Sayang, ini hyung yang saya sangat hargai. Tolonglah labur kalau boleh. Duit ini bagi awak ibarat harga sekotak gula-gula,” kongsinya.
Namun, Lee Soo Ji melontarkan rasa tidak puas hati terhadap Tak Jae Hoon dengan memanggilnya “orang tua.”
“Saya tak suka lelaki tua. Kalau nak pelaburan saya, keluarkan dia.
“Jang Hoon lebih sesuai dengan pasukan. Kalau awak tambah dia sebagai ahli, saya boleh labur 10 bilion KRW (RM29.9 juta),” katanya.
Akhirnya, ahli-ahli lain goyah dan mengkhianati Tak Jae Hoon. Apabila semua mengangkat tangan menyokong penggugurannya, Lee Kyung Kyu berkata: “Kita ambil 10 bilion,” lalu menjerit, “Tak Jae Hoon, awak keluar!” Dalam hanya 10 saat, keputusan pengunduran Tak Jae Hoon dimuktamadkan, meninggalkannya dengan wajah suram.
One Shot Project – My Turn ialah rancangan variasi yang menampilkan lakonan komedi oleh Lee Kyung Kyu, Tak Jae Hoon, Choo Sung Hoon, Lee Soo Ji, Kim Won Hoon, Park Ji Hyun, dan Nam Yoon Soo.
