Meraikan Empat Dekad Perjalanan, Lapan Album Sheila Majid Dikeluarkan Dalam Format Vinyl

Meraikan Empat Dekad Perjalanan, Lapan Album Sheila Majid Dikeluarkan Dalam Format Vinyl

Empat puluh tahun bukan tempoh yang singkat. Dalam dunia muzik yang sering berubah arah dan mengalami fasa turun naik, hanya segelintir yang mampu bertahan untuk terus relevan, dihormati, dan dicintai seperti yang dilalui Datuk Sheila Majid.

Tahun ini, sebagai tanda penghormatan kepada legasi beliau yang tiada tandingan, Universal Music Malaysia dan PMP Entertainment tampil dengan satu inisiatif yang cukup istimewa dan penuh makna ‘menerbitkan’ semula album lamanya. 

Kesemua lapan album studio Sheila Majid kini dilancarkan dalam format vinyl edisi terhad, menjadikannya artis Malaysia pertama yang memiliki seluruh diskografi utama dalam format klasik dan elegan ini.

Nama Sheila Majid mula disebut-sebut dalam kalangan penggemar muzik tanah air sekitar tahun 1985 apabila beliau muncul dengan album sulungnya, Dimensi Baru. Suaranya yang lembut tetapi penuh jiwa, dibalut gaya jazz kontemporari, benar-benar membezakan beliau daripada penyanyi wanita lain ketika itu.

Tidak lama kemudian, Emosi (1986) dan Warna (1988) menyusul, dua album yang bukan sahaja mengukuhkan namanya di Malaysia, tetapi turut membuka jalan ke pasaran Indonesia. Ketika ramai artis hanya selesa di rumah sendiri, Sheila berani merentasi sempadan. Lagu-lagu seperti Sinaran, Antara Anyer dan Jakarta, dan Legenda menjadi siulan dari satu generasi ke gergasi yang lain.

Album Legenda (1990), yang merupakan tribut kepada Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, memperlihatkan sisi seni Sheila yang lebih mendalam. Beliau juga bukan dilihat sekadar penyanyi, tetapi pengkarya yang menghargai warisan seni bangsa.

Seiring peredaran zaman, Sheila terus mempersembahkan karya-karya matang seperti Ratu, Ku Mohon, Cinta Kita, dan Boneka, mengekalkan mutu vokal dan produksi muzik yang tinggi. Bagi mereka yang membesar dengan lagu-lagunya, setiap album seperti kapsul masa yang merentasi zaman.

Kini, lapan album penting dalam katalog Sheila Majid digabungkan dalam bentuk vinyl edisi terhad, dicetak dengan kualiti audio tinggi dan hanya 300 set ditawarkan secara eksklusif. Ia bukan sekadar produk muzik, tetapi satu koleksi warisan budaya yang wajib dimiliki oleh peminat tegar, pencinta muzik dan pengumpul vinyl.

Sheila Majid.

Menurut Hermond Cheng, Pengarah Kanan A&R dan Pengurusan Artis Universal Music Malaysia, projek ini sudah lama dirancang, dan akhirnya menjadi kenyataan bersempena Konsert Sheila Majid: 40 Years in Music yang bakal berlangsung pada 8 November 2025.

“Ramai peminat telah lama bertanya, bilakah semua album Datuk Sheila Majid akan dikeluarkan dalam bentuk vinyl. Ini bukan sekadar menjawab permintaan itu, tetapi juga satu penghargaan terhadap legasi beliau dalam industri muzik negara,” jelas Hermond.

Pra-tempahan vinyl edisi khas ini akan dibuka pada 23 September 2025, jam 12.00 tengah hari, dengan harga pengenalan RM1,499.00. Selepas tempoh promosi, harganya akan dinaikkan kepada RM1,599.00. Pelancaran rasmi pula dijadualkan pada 5 Oktober hadapan.

Projek istimewa ini turut melibatkan kolaborasi antara beberapa label utama seperti EMI Music / Universal Music, Warner Music Malaysia dan Magada Entertainment Sdn Bhd  yang dilihat sebagai satu usaha kolektif untuk memelihara dan merayakan sejarah muzik Malaysia.

Apa yang menjadikan set ini begitu bermakna bukan hanya kerana nilai kolektornya, tetapi kerana setiap album mengandungi cerita, perjuangan, dan evolusi seorang wanita yang telah memberikan seluruh jiwa dan raganya kepada seni.

Untuk info pra-tempahan dan perkembangan lanjut, ikuti laman rasmi Universal Music Malaysia di media sosial.

Related post

Leave a Reply