
Ernie Zakri Hormati Keputusan AIM24, Anggap Kontroversi Old Love Wajar Ditamatkan
Penyanyi, Ernie Zakri memilih untuk tidak memanjangkan kontroversi yang tercetus selepas penyanyi Yuji mempertikaikan kekalahan lagu Old Love berbanding lagu Masing Masing pada Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) baru-baru ini.
Menurut Ernie, dia percaya sepenuhnya kepada sistem penjurian yang dikendalikan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), sekali gus menghormati segala keputusan yang diumumkan pada malam berprestij itu.
“Saya yakin RIM sudah buat kerja sebaik mungkin. Setiap pencalonan diteliti dengan teliti kerana jumlahnya bukan sedikit. Saya hormati keputusan juri dan tidak ada sebab untuk saya pertikai selepas ia diumumkan.
“RIM sudah beri penjelasan jelas mengenai kemenangan Masing Masing, dan sebagai artis, kita pun harus belajar.
“Saya sendiri belajar daripada pengalaman, mungkin selepas ini Yuji juga akan dapat pengajaran sama. Kalau masih ada persoalan, lebih baik diajukan terus kepada RIM,” katanya.
Isu berkenaan timbul selepas Yuji bersama abang Putri Dahlia, Iman Syakir, meluahkan rasa kecewa di media sosial kerana mendakwa Old Love memiliki jumlah strim lebih tinggi berbanding Masing Masing.
Namun, hasil semakan mendapati Masing Masing sebenarnya mencatat lebih 200 juta strim di Spotify dan sekitar 620 juta strim keseluruhan di semua platform digital. Angka itu sekaligus mengesahkan kemenangan lagu tersebut dalam kategori Lagu Paling Tinggi Distrim di AIM24.
Sementara itu, Old Love masih berjaya tersenarai dalam Top 5 Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, namun kemenangan kategori itu akhirnya berpihak kepada Daiyan Trisha menerusi My Home Is In Your Arms.
RIM sebelum ini menjelaskan kategori teknikal di AIM24 dinilai berdasarkan data rasmi penstriman, bukan berdasarkan populariti semata-mata. Lagu Old Love dilaporkan tidak tersenarai dalam Carta Domestik RIM, iaitu carta mingguan rasmi bagi lagu tempatan paling banyak distrim di Malaysia.
Perkara itu berlaku berikutan isu teknikal melibatkan International Standard Recording Code (ISRC), iaitu kod unik yang perlu didaftarkan bagi setiap rakaman muzik. Tanpa pendaftaran tepat, lagu berkenaan tidak layak bersaing.
Mengulas lanjut, Ernie mengakui terma dan syarat AIM perlu difahami sepenuhnya oleh semua pihak sebelum menghantar pencalonan.
“Saya baca sendiri kenyataan RIM. Setiap lagu yang mahu dicalonkan perlu ikut kriteria ditetapkan. Kalau tidak menepati, memang ia tak layak.
“Malah, ada juga karya saya yang tidak boleh masuk sesetengah kategori kerana faktor teknikal. Contohnya album saya ada karya dari Indonesia, jadi ia tak boleh masuk kategori tertentu.
“Lagu saya dihantar oleh Universal Music Malaysia. Sudah tentu pihak label lebih arif tentang sistem pencalonan AIM,” jelasnya lagi.
Dengan penjelasan menyeluruh itu, Ernie berharap isu yang dibangkitkan tidak lagi diperbesarkan dan semua pihak dapat menghormati keputusan penganjur.