Eunho YOUNITE Jadi Mangsa Gangguan Seksual di Brazil

Eunho YOUNITE Jadi Mangsa Gangguan Seksual di Brazil

Eunho YOUNITE menjadi mangsa insiden gangguan seksual oleh seorang peminat ketika menghadiri sebuah acara di Brazil.

Kejadian itu yang dirakam menerusi video dan tular di media sosial itu telah mencetuskan reaksi tegas daripada pihak penganjur acara serta agensi kumpulan tersebut.

Ketika insiden tersebut berlaku, YOUNITE sedang mengadakan persembahan pada acara 18th Korean Culture Day di São Paulo.

Ketika para anggota kumpulan meninggalkan lokasi, seorang wanita dalam kalangan penonton bertindak meluru ke arah Eunho, memegang lehernya dan cuba menciumnya secara paksa.

Anggota keselamatan segera campur tangan untuk menghentikan tindakan tersebut, manakala Eunho yang kelihatan terkejut terus dibawa keluar dari kawasan itu.

Jawatankuasa penganjur acara mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam insiden berkenaan.

“Kami amat kesal dengan kejadian gangguan seksual di mana seorang peminat cuba mencium artis secara paksa. Kami ingin menegaskan bahawa gangguan seksual dalam apa jua bentuk adalah tidak boleh diterima.

Tindakan yang melanggar maruah, rasa hormat, dan keselamatan individu sama sekali tidak akan ditoleransi,” jelas kenyataan itu.

Agensi YOUNITE, Brand New Music, turut mengeluarkan notis mengenai perkara tersebut.

“Baru-baru ini berlaku satu insiden keselamatan di mana kesejahteraan artis terancam akibat tindakan sesetengah peminat yang mendekati secara berlebihan selepas persembahan. Situasi ini bukan sahaja berisiko kepada artis, malah juga membahayakan keselamatan semua peminat di tempat kejadian.

Demi keselamatan artis dan peminat, kami meminta agar anda mengekalkan jarak selamat sepanjang jadual acara berlangsung,” kata agensi tersebut.

Mereka turut menyeru agar peminat tidak melontarkan kritikan berlebihan terhadap individu yang terlibat.

Selepas insiden itu, Eunho sendiri tampil menenangkan peminat menerusi platform komunikasi ‘Fromm’.

“Saya memang terkejut. Pada mulanya saya sangka dia seorang staf. Tapi saya sempat mengelak dengan refleks pantas saya. Saya okay,” tulisnya.

Related post

Leave a Reply