
“Saya Berdiri Atas Bakat Sendiri” – Anak Dharma Harun
Pelakon baharu, Muhammad Al Syafiq, 36, menegaskan penglibatannya dalam dunia seni tidak pernah bergantung kepada populariti bapanya iaitu aktor legenda, Dharma Harun Al-Rashid.
Menurut Syafiq, dia sudah lama bergiat dalam bidang lakonan, malah sebelum kisah kesusahan hidup keluarganya menjadi perhatian umum.
“Saya harap orang lihat pada bakat saya, bukan siapa saya. Saya tak rasa saya tumpang nama ayah untuk dapatkan kerja. Dah lama saya berkecimpung dalam bidang ini, saya berdiri atas bakat sendiri,” katanya.
Mengulas lanjut, Syafiq berkata kewujudannya dalam industri seni mungkin kurang disedari sebelum ini kerana sering diberi peranan sampingan atau watak pelakon tambahan.
Penuntut Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu yakin kemampuannya berlakon adalah hasil latihan formal dan bukannya bergantung pada nama keluarga.
“Kalau saya tak berbakat, ASWARA takkan ambil saya sebagai pelajar. Bukan nak kata saya bagus sangat, tapi saya belajar lakonan secara betul.
“Saya tahu ramai lagi yang lebih berbakat di luar sana. Sebab itu bila orang kata saya menumpang nama ayah, saya rasa pelik,” kongsinya lagi.
Bagaimanapun, Syafiq tidak menafikan bahawa publisiti berkaitan bapanya sebelum ini telah membuka lebih banyak peluang buat dirinya dalam industri hiburan.
“Saya tak boleh nafikan sedikit sebanyak kisah ayah turut melonjakkan nama saya. Tapi sebenarnya saya dah mula berlakon sejak 17 tahun lalu, termasuk dalam muzik video Datuk M. Nasir dan juga Bunga.
“Saya juga pernah muncul dalam drama seperti Kisah Benar, tapi hanya sebagai pelakon tambahan. Mungkin sebab itu saya kurang dikenali,” ungkapnya lagi.
Kini, Syafiq mula menerima kepercayaan daripada pihak penerbit termasuk diberi peluang membawa watak utama dalam beberapa naskhah terkini.
Menggalas nama besar seperti Dharma Harun Al-Rashid bukan satu tanggungjawab yang ringan. Menurut Syafiq, harapan terhadapnya tinggi, memandangkan bapanya sinonim dengan mutu lakonan berkualiti.
“Ramai ingat bawa nama bapa itu mudah, tapi sebenarnya sangat mencabar. Nama Dharma Harun Al-Rashid dah cukup gah, jadi saya perlu lebih berdisiplin.
“Saya jaga ‘call time’, tak boleh datang lambat. Saya pastikan skrip dah hafal sebelum masuk set. Pendek kata, semuanya kena sempurna,” luahnya lagi.