
“Nak bantu orang bukan soal duit sahaja, kita ada tangan, tenaga dan suara” – Zizan Razak
Pelakon dan pengacara, Zizan Razak, 41, menegaskan tindakannya membantu Amir Raja Lawak bukanlah untuk menunjuk-nunjuk atau meraih perhatian, sebaliknya rasa prihatin terhadap rakan seindustri.
Menurut pemilik nama sebenar Mohd Razizan Abdul Razak, bantuan yang diberikan dilakukan dengan niat yang ikhlas, walaupun mereka bukanlah sahabat rapat.
“Sebenarnya, Amir tak cari saya pun, saya yang hubungi dia dulu untuk tanya khabar dan keadaan semasa, seperti yang kalian baca dalam perkongsian dia.
“Walaupun kami tak begitu rapat, tapi sebab dia juga lahir dari program yang sama, iaitu Raja Lawak, saya rasa ada ikatan. Saya tak mahu tunjuk baik, cuma ringankan beban Amir” jelas Zizan.
Zizan menambah, bantuan yang dihulurkan bukan hanya terhad kepada rakan artis, malah dia turut membantu orang luar yang tidak dikenalinya.
Zizan percaya rezeki yang diperoleh ada bahagian untuk dikongsi dengan orang lain.
“Allah SWT beri rezeki bukan 100 peratus untuk kita sahaja, ada bahagian untuk kita bahagi-bahagikan demi kebaikan bersama.
“Saya pun sebenarnya takut, takut disalah anggap riyak atau menunjuk. Kalau boleh, saya nak diam-diam saja bila membantu,” katanya lagi.
Menurut Zizan, membantu tidak semestinya dengan wang ringgit, sebaliknya boleh juga dilakukan dengan pelbagai cara lain.
“Nak bantu orang bukan soal duit sahaja, kita ada tangan, tenaga dan suara. Semua itu pun boleh digunakan untuk tolong orang sekeliling.
“Saya tak mahu orang fikir saya ini tunjuk baik. Tapi kalau perkongsian itu boleh beri inspirasi kepada orang lain untuk buat baik, itu lebih penting,” tambahnya lagi.
Terdahulu, nama Zizan menjadi perhatian netizen selepas Amir memuat naik hantaran di Instagram, mendedahkan dirinya menerima bantuan daripada pelakon filem Abang Long Fadil itu.
Bantuan tersebut hadir selepas Amir merayu sebuah stesen televisyen untuk melunaskan bayaran tertunggak berjumlah RM18,000 yang amat diperlukan bagi menampung kos rawatan serta keperluan harian ayahnya yang menghidap kanser usus dan kini uzur.