Penyanyi rap, Yonnyboii, 27, mengakui pengalaman dibuli ketika zaman sekolah telah meninggalkan parut mendalam dalam hidupnya.
Pemilik nama sebenar Muhammad Haqeem Nuriman Nor Azrin, berkata lebih menyedihkan apabila ada dalam kalangan individu yang pernah membulinya seolah-olah langsung tidak menyesali perbuatan mereka.
“Saya pernah berjumpa kembali dengan orang yang membuli saya. Apa yang saya perasan, mereka langsung tidak ingat atau mungkin pura-pura lupa apa yang pernah dilakukan.
“Saya tak minta mereka datang untuk mohon maaf, tapi sedih bila nampak mereka tiada rasa insaf. Sampai mati saya akan ingat perkara ini, bukan untuk mengungkit, tetapi kerana ia kekal dalam ingatan,” katanya.
Menurut Yonnyboii, pembuli lazimnya mencari sasaran daripada kalangan individu yang dilihat lemah, manakala mendakwa pihak sekolah dan warden hostel pula sering mengambil mudah isu berkenaan.
“Saya dijadikan sasaran kerana dianggap lemah. Perkara sebegini memang disukai pembuli.
“Lebih mengecewakan, ada pihak sekolah dan warden yang menganggapnya sekadar usikan sehingga ia menjadi seperti tradisi.
“Disebabkan itu, saya terpaksa berpindah dari satu sekolah ke sekolah lain,” ujar pelantun lagu Sakit itu.
Bapa kepada seorang anak itu berharap pihak berwajib lebih tegas menangani isu buli kerana kesannya mampu menghantui mangsa hingga dewasa.
Sekitar lima tahun lalu, Yonnyboii pernah mendedahkan dia hampir mengambil nyawanya sendiri ketika berusia 12 tahun selepas menjadi bahan ejekan rakan-rakan.
Pendedahan ini dibuat susulan kes kematian seorang pelajar di Sabah, Zara Qairina, yang didakwa berpunca daripada perbuatan buli, sekali gus mencetuskan gelombang solidariti daripada rakyat termasuk rakan-rakan artis.