Penyanyi dan komposer, Hael Husaini, 38, menjadikan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai inspirasi dan penanda aras dalam mengekalkan komitmen serta disiplin dalam kerjaya seninya.
Menurut Hael, penyanyi nombor satu negara itu adalah contoh terbaik dalam aspek profesionalisme serta semangat tidak mudah mengalah, walaupun sudah lebih dua dekad bergelar anak seni.
“Saya mahu terus bertapak dalam industri. Jadi tiada alasan untuk tidak beri komitmen dalam setiap tugasan. Semua ini adalah rezeki.
“Menghiburkan peminat adalah tanggungjawab seorang artis. Bila saya dah beri komitmen, saya perlu buat sampai habis. Soal penat, saya tolak ke tepi.
“Saya pegang satu prinsip, selagi Datuk Seri Siti Nurhaliza tak pernah mengeluh penat, saya dan artis lain yang masih bertatih tak sepatutnya bersuara tentang penat,” katanya ditemui di sebuah majlis, baru-baru ini.
Tambah penyanyi lagu Jampi itu lagi, fasa ‘me time’ atau masa untuk diri sendiri telah lama berlalu. Baginya, waktu untuk berehat panjang sudah tiada lagi sejak kerjaya seninya kembali menyinar.
“Me time saya dah lama habis, waktu saya belum dikenali dulu sudah cukup lama saya berehat. Sekarang, bila peluang datang, saya tak akan sia-siakan.
“Saya tetap ada masa untuk diri sendiri, tapi saya bijak bahagi masa. Cukup tidur pun dah memadai. Saya memang jenis kuat bekerja,” tambahnya.
Sebagai tanda kesungguhan terhadap kerjaya, Hael kini sibuk menjalani latihan menjelang konsert solo sulungnya iaitu Hael Husaini & Repertoire yang akan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 8 Ogos ini.
Hael turut dijadual terbang ke Sabah keesokan harinya untuk menyertai Festival Tentang Cinta yang bakal berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu pada 9 Ogos.