Pelakon dan penyanyi, Daiyan Trisha, 31, tenang menjawab kritikan netizen yang mempertikaikan penampilannya yang dianggap terlalu seksi, terutama selepas beberapa kali menunaikan ibadah umrah.
Menurut Daiyan, hal berkaitan ibadah adalah urusan peribadi antara dirinya dengan Tuhan dan tidak perlu diperbesar atau dijadikan bahan penilaian umum.
“Urusan sudah pergi umrah atau belum, saya fikir itu hubungan peribadi saya dan Allah. Itu urusan saya dengan Allah. Bab itu saya tidak boleh komen banyak,” katanya yang ditemui pada sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2025 .
Tambah Daiyan, dia lebih selesa menjadi diri sendiri, namun dalam masa sama terus belajar memperbaiki diri ke arah lebih baik.
“Saya faham mengapa orang lontarkan komen tentang pakaian dan sebagainya. Tapi saya hanya mahu jadi diri saya. Saya sentiasa cuba untuk berubah, tetapi dengan cara dan pada masa yang saya rasa paling sesuai,” ungkapnya.
Walaupun sudah lali menjadi sasaran kritikan, pelantun lagu Penat itu tidak menolak nasihat mahupun teguran orang ramai.
“Saya fikir komen sebegitu adalah sesuatu yang perlu saya hadap. Tapi saya masih dalam proses cuba memperbaiki diri.
“Daripada pihak saya, saya akan lakukan yang terbaik. Mungkin esok, lusa saya akan cuba sesuatu yang baru. Kita tak tahu, kan?.
“Saya seorang yang positif. Beginilah saya. Saya akan cuba lakukan yang terbaik, sama ada dari segi pemakaian, akhlak atau apa jua sekalipun,” katanya menutup bicara.