Setelah 37 Tahun, Empat Filem Sarimah Ahmad Dikembalikan Semula
SETELAH sekian lama menanti, empat buah filem yang pernah diterbitkan oleh seniwati Datuk Sarimah Ahmad, 82, akan dikembalikan kepadanya dalam masa terdekat.
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang menjelaskan syarikat yang memiliki filem berkenaan sudah menyerahkan salinan filem berkenan kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) untuk tujuan baik pulih baru-baru ini.
“Tujuan lawatan kita pada hari ini adalah untuk membawa berita gembira kepada Datuk Sarimah, kerana Kementerian Komunikasi dan FINAS telah membantu beliau dapatkan semula empat buah filem yang sebelum ini ‘diambil’ bagi tujuan tayangan pada tahun 1988.
“Ini membolehkan salinan filem tersebut diserah kembali kepada Datuk Sarimah pada masa yang akan datang, ini sebahagian usaha memulihkan warisan seni negara kita,” katanya ketika ditemui di kediaman Sarimah di Subang Jaya, Selangor hari ini.
Turut hadir, Ketua Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) FINAS, Datuk Azmir Saifudin Mutalib; Ahli Perbadanan FINAS merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri FINAS Kolonel Bersekutu (PA) Rozaidi Abdul Jamil dan Ahli Perbadan FINAS, Saeful Fadhly Moktar.
Selain itu, Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez dan beberapa rakan strategik FINAS yang lain turut hadir menyantuni seniwati berkenaan.
Menerusi program Ziarah Seni Madani FINAS di bawah program bulan Ramadan dan Hari Wanita Antarabangsa, Nie Ching turut menyerahkan sumbangan wang tunai dan bantuan asas kepada pelakon yang popular dengan filem Ibu Mertuaku.
Selain Sarimah, FINAS juga akan memberikan bantuan kepada 100 lagi anak seni lain dalam beberapa program yang bakal dianjurkan pada 17 dan 21 Mac ini bagi memelihara kebajikan dan kesejahteraan penggiat seni.

“Tahun ini kami menyasarkan untuk membantu lebih ramai penggiat seni melalui acara yang telah diatur. Kebetulan beliau menjadi penerima pertama untuk tahun ini, kami juga bawa khabar gembira untuknya mengenai empat buah filem berkenaan.
“Beliau banyak berjasa kepada industri dan saya doakan agar beliau cepat sembuh dan akan membantu menayangkan semula filem berkenaan di RTM dan sebagainya,” kata Nie Ching.
Terdahulu, Sarimah membuat pendedahan apabila menggesa seorang penerbit filem mengembalikan semula salinan asal empat buah filem terbitan syarikatnya iaitu Sarimah Film Production.
Empat naskhah tersebut berjudul Detik 12 Malam, Jejak Bertapak, Dia Ibuku dan Kabus Tengahari yang diambil sejak 36 tahun lalu, pada hari kematian suaminya Allahyarham Yusof Majid pada tahun 1988.
Masalah yang dihadapi oleh Sarimah mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim rentetan daripada satu e-mel yang dihantar oleh anak perempuannya, Yusarimah Putri pada tahun lalu yang meminta campur tangan untuk menyelesaikan kemelut ini.
Foto FINAS