FINAS Perketat Surat Perakuan Penggambaran
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) akan memperketat syarat Surat Perakuan Penggambaran (SPP) dengan memasukkan klausa baharu tahun ini bagi mengekang masalah bayaran gaji kru produksi daripada berlarutan.
Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, berkata syarikat produksi yang gagal menyelesaikan gaji kru bakal berdepan sekatan tayangan produk, sama ada di panggung wayang, mahupun kaca televisyen (TV).
Katanya, FINAS akan menubuhkan satu tribunal sebagai platform untuk mendengar dan mendapatkan maklum balas pihak yang teraniaya.
“Sebagai badan bertanggungjawab terhadap perkembangan industri, tindakan proaktif seperti ini perlu bagi menjaga kebajikan pekerja daripada teraniaya atau tidak dapat upah.
“Syarat baharu ini juga tertakluk kepada penerbit, pelabur atau mana-mana pihak yang teraniaya seperti isu pengarah filem lari, kru tidak hadir dan sebagainya.
“Sebagai pengeluar lesen untuk penerbit, pengedar dan pempamer, FINAS mempunyai hak untuk membuat keputusan bagi membela nasib semua peringkat pekerja industri seni,” katanya.
Beliau menjelaskan demikian susulan kegagalan penerbit Strike: Silat Cult Master melangsaikan upah kru yang didakwa masih tertangguh selepas lebih setahun penggambaran filem selesai.
Azmir berkata, keputusan tegas terpaksa diambil sebagai pengajaran kepada penerbit lain dan mengelakkan masalah lebih besar hingga mengganggu ketenteraman awam.
“Ia seperti timbul kekecohan di pawagam, memuat naik petisyen di media sosial hingga menimbulkan perspektif negatif masyarakat.
“Justeru, jalan terbaik adalah menunda tayangan bagi menjaga ketenteraman bersama. FINAS sangat memandang serius hal membabitkan pekerja,” katanya.
Katanya, FINAS juga menjalin bekerjasama dengan Jabatan Tenaga Kerja (JKT) bagi menangani masalah itu.
“JKT dan FINAS akan bersama turun padang memantau isu pekerja. Kerjasama ini sudah dilakukan sejak tahun lalu ketika permit pekerja kanak kanak (pelakon) dilaksanakan melalui hebahan dan syarat dalam SPP.
“JTK turut menyediakan sesi kaunseling dan peguam untuk membela isu pekerja,” katanya seperti dilaporkan BH Online.