Viral

Shukri Yahaya Mengaku Khilaf Tunjuk Jari Tengah

Pelakon, Shukri Yahaya, 38, mengakui kesilapan dan memohon maaf selepas aksi menunjukkan jari tengah dalam sekeping foto yang tular di media sosial mengundang kecaman ramai.

Pemilik nama sebenarnya Mohd Shukri Yahaya menjelaskan, aksi berkenaan dilakukan secara spontan ketika dia bergambar bersama rakan-rakan rapat dalam sebuah acara baru-baru ini.

Menurutnya, foto tersebut pada asalnya sekadar momen santai bersama kenalan yang sudah lama tidak ditemuinya dan dia tidak menyangka ia akan mencetuskan kontroversi.

“Sedikit nakallah. Sebenarnya foto tersebut diambil ketika bertemu dengan kawan-kawan rapat yang sudah lama tak jumpa dan saya sendiri okey bila Andy Teh mahu muat naik dalam media sosial.

“Kemudian ada pula seorang hamba Allah yang cuba mencetuskan isu daripada foto tersebut. Disebabkan itu, saya ambil tindakan pantas dengan minta Andy memadamnya sebab orang tidak suka. Jadi, saya minta maaf dan akui itu kesalahan sendiri,” katanya.

Bagaimanapun, Shukri mempersoalkan tindakan segelintir pihak yang menurutnya cuba memperbesarkan isu tersebut, sedangkan foto berkenaan dikongsi dalam kalangan rakan-rakan dan pengikut media sosialnya yang kebanyakannya terdiri daripada golongan dewasa.

“Foto tersebut dimuat naik dalam kalangan kawan-kawan saya dan turut dikongsi menerusi akaun media sosial saya yang majoritinya golongan dewasa dan boleh berfikir tentang baik atau buruk.

“Jadi, kenapa benda ini harus dibesarkan segelintir pihak yang katanya bimbang anak-anak akan terikut-ikut?

“Daripada menegur ataupun mencari kesalahan orang lain, lebih baik menasihati atau kawal penggunaan media sosial anak-anak mereka.

“Saya percaya pengikut media sosial saya adalah manusia yang berakal dan boleh bezakan mana satu baik dan buruk,” ujarnya.

Shukri turut kesal apabila kontroversi tersebut dikaitkan dengan penampilan isterinya, Tya Adnan yang kini tampil berpurdah.

“Kenapa nak libatkan dengan penampilan isteri sedangkan saya sendiri tidak pernah campur aduk hal peribadi dengan kerjaya atau semua yang berlaku dalam media sosial.

“Daripada risau rosakkan akhlak budak-budak, lebih baik mereka bimbang dan pantau kandungan yang ditonton oleh anak-anak. Kawal penggunaan media sosial.

“Cuma kepada yang terasa, saya minta maaf. Saya pun sudah beri respons pantas dengan memadam foto tersebut, tetapi masih ada pihak yang teruskan niat untuk mengecam,” jelasnya.

Dalam perkembangan lain, filem Chelot arahan Adrian Teh yang menampilkan Shukri bersama barisan pelakon seperti Beto Kusyairy, Shaheizy Sam, Azhan Rani dan Alicia Amin bakal menemui penonton di pawagam seluruh negara pada 27 Ogos ini.

Related Articles

Back to top button