Gaya Hidup

Nadeera Terharu Dipuji Semakin Cantik

Penyanyi, Nadeera, 32, berasa terharu apabila sering menerima pujian daripada peminat yang menyifatkan penampilannya kini semakin cantik dan menyerlah.

Menurut penyanyi itu, imej dan penampilan menjadi salah satu perkara penting yang perlu dijaga oleh seorang selebriti kerana menjadi perhatian peminat selain aspek vokal.

Katanya, dia sentiasa berusaha menjaga pemakanan serta mengamalkan rutin tertentu bagi memastikan bentuk badannya kekal ideal.

“Saya gembira apabila ada yang menyukai penampilan saya. Sebagai penyanyi, saya perlu menjaga imej kerana peminat bukan sahaja mahu melihat kita menyanyi, tetapi juga menghargai penampilan yang menarik.

“Jadi, saya akan berusaha melakukan apa sahaja yang mampu, termasuk menjaga pemakanan dan mengamalkan diet supaya penampilan sentiasa sedap dipandang,” katanya.

Juara Big Stage 2023 itu turut berkongsi mengenai rutin penjagaan dirinya dengan memberitahu dia cuba memastikan berat badan tidak melebihi 45 kilogram.

Nadeera menjelaskan, fizikalnya yang kecil dan tidak terlalu tinggi membuatkan sesetengah pihak menganggap dirinya terlalu kurus.

“Saya tidak rasa badan saya terlalu kurus. Mungkin kerana tubuh saya kecil dan tidak tinggi, jadi orang melihat saya seolah-olah terlalu kurus.

“Kalau berat saya mencecah 45 kilogram, orang akan kata saya sudah berisi. Sebab itu saya cuba pastikan berat badan tidak sampai ke tahap itu.

“Bagaimanapun, berat badan saya masih dalam lingkungan 40 kilogram, tetapi biarlah angka sebenar itu menjadi rahsia saya,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Nadeera meluahkan rasa teruja apabila diberi peluang menyertai projek rakaman semula lagu popular Cinta Yang Di Akhir Garisan 2.0 bersama tiga lagi penyanyi iaitu Aisha Retno, Marsha dan Adira.

Lagu Cinta Yang Di Akhir Garisan 2.0 yang turut mendapat sentuhan iringan 53 pemuzik dari Budapest itu dijangka dilancarkan kepada pendengar pada penghujung Ogos ini.

Related Articles

Back to top button