Viral

Tukang Sapu Sebak, 4 Anak Buat Kejutan Hari Jadi Dengan Uniform Kerjaya Masing-Masing

Seorang wanita yang telah bekerja sebagai tukang sapu jalan selama lebih 12 tahun tidak dapat menahan sebak apabila empat anak perempuannya membuat kejutan sempena ulang tahun kelahiran yang ke-50.

Lebih menyentuh hati, keempat-empat mereka hadir dengan memakai pakaian seragam profesion masing-masing sebagai juruterbang, jururawat, kru kabin Singapore Airlines dan guru.

Momen penuh emosi itu dirakam menerusi sebuah video yang dimuat naik oleh The Chindian Diaries di Facebook dan sejak itu tular di media sosial.

M. Kavitha, yang bekerja di SWM Environment, sebuah syarikat pengurusan sisa di Seremban, menerima gaji sekitar RM1,800 sebulan. Walaupun anak-anaknya kini berjaya dalam kerjaya masing-masing, beliau memilih untuk terus bekerja atas kerelaannya sendiri.

Ketika ditanya mengapa masih bekerja pada usia 50 tahun dan tidak membiarkan anak-anak menyaranya.

“Bukan macam itu, sayang. Berdikari itu lebih baik. Setiap anak ada kehidupan masing-masing. Saya baru berusia 50 tahun. Ramai lagi orang yang masih bekerja walaupun sudah berusia 70-an.

“Saya lakukan kerja ini dengan sepenuh hati,” katanya.

Menurut New Straits Times (NST), kejutan tersebut dirancang oleh anak sulungnya, L. Bharathi, bersama adik-beradiknya selama kira-kira sebulan. Idea itu dicetuskan oleh adik bongsunya, Santhia, 29, ketika mereka berbincang mengenai hadiah hari jadi paling bermakna untuk ibu mereka.

“Kami tahu tiada hadiah material yang mampu membalas segala pengorbanan Amma. Kami mahu menghadiahkan sesuatu yang bukan bernilai kerana harganya, tetapi kerana kegembiraan yang mampu diberikannya,” kongsinya

Beliau turut berkongsi bahawa ibu mereka pernah menyuarakan hasrat untuk melihat anak bongsunya datang membuat kejutan di tempat kerja dengan memakai uniform juruterbang, impian yang akhirnya menjadi kenyataan sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-50.

Menurut Bharathi, cabaran terbesar ialah menyelaraskan jadual kerana ada adik-beradik yang menetap di Singapura dan Langkawi, selain memastikan Kavitha langsung tidak mengetahui rancangan tersebut dan hadir bekerja seperti biasa pada hari kejutan.

Kavitha telah menghabiskan lebih 12 tahun bekerja sebagai penyapu jalan bersama suaminya yang bekerja sebagai tukang cat demi memberikan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak mereka.

Pasangan itu mempunyai lima orang anak. Anak lelaki mereka kini bekerja di syarikat yang sama dengan Kavitha.

“Sejak kecil kami melihat Amma bekerja di bawah panas terik dan hujan tanpa pernah merungut. Pengorbanannya menjadi inspirasi untuk kami belajar bersungguh-sungguh, bekerja keras dan mengubah kehidupan keluarga,” ujar Barathi.

Dalam video tersebut, seorang penemu bual bertanyakan Kavitha mengenai pekerjaan dan keluarganya. Ketika ditanya mengenai kerjaya anak-anaknya, dia menjawab tanpa menyedari keempat-empat anak perempuannya sedang berdiri di belakang.

“Semua anak saya ada kerjaya yang baik. Anak sulung saya jururawat, anak kedua pramugari Singapore Airlines, anak ketiga guru sekolah menengah kerajaan, anak keempat lelaki bekerja dengan saya, dan anak bongsu saya seorang juruterbang,” kongsi Kavitha.

Related Articles

Back to top button