Global

Kanak-Kanak 11 Tahun Lemas Selepas Disedut Saluran Air Kolam Renang

Seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun meninggal dunia akibat lemas selepas sebahagian tubuhnya disedut ke dalam saluran peredaran air di kawasan air cetek sebuah kolam renang di pusat sukan di Wilayah Hebei, China.

Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira pukul 4.50 petang pada 6 Julai 2026 ketika mangsa berada di kolam bersama ibunya.

Menurut 163.com, mangsa disedut ke saluran keluar sistem pam peredaran air yang terletak di dinding kolam di kawasan air cetek.

Mangsa dikatakan gagal melepaskan diri apabila lengan kiri serta bahagian bahunya tersedut masuk sepenuhnya ke dalam saluran itu, menyebabkan kepalanya tenggelam di dalam air.

Akibatnya, mangsa tidak dapat bernafas dan bergelut di dalam air selama kira-kira tiga hingga lima minit, lapor The Paper.

Saluran yang menyebabkan kejadian itu mempunyai bukaan selebar 15 sentimeter dan terletak kira-kira 80 sentimeter di bawah permukaan air, menurut 163.com.

Lebih membimbangkan, ketika kejadian, tiada penyelamat (lifeguard) didakwa bertugas di kolam tersebut. Hanya seorang kakitangan wanita berada di lokasi, namun dia didakwa leka melihat telefon bimbit dan tidak memantau keadaan kolam.

Kira-kira tiga minit selepas mangsa mula lemas, seorang lagi kanak-kanak yang berada di kolam menyedari kejadian itu sebelum berlari memaklumkan kepada individu di kawasan menunggu, lapor The Paper.

Pada pukul 4.56 petang, ibu mangsa bersama seorang jurulatih renang bergegas ke kolam dan jurulatih itu terus terjun untuk menyelamatkan mangsa.

Bagaimanapun, daya sedutan saluran air itu terlalu kuat sehingga tiga orang dewasa gagal menarik keluar lengan mangsa.

Jurulatih berkenaan kemudian berlari ke bilik elektrik dan menekan suis kecemasan bagi memutuskan bekalan kuasa.

Selepas bekalan elektrik diputuskan, mereka berjaya mengeluarkan lengan mangsa daripada saluran peredaran air sebelum mengangkatnya keluar dari kolam.

Namun, wajah mangsa sudah bertukar kebiru-biruan serta tidak menunjukkan sebarang tanda pernafasan atau denyutan nadi, menurut The Paper.

Mangsa diberikan bantuan kecemasan sebelum dikejarkan ke hospital kira-kira 20 minit selepas kejadian lemas berlaku. Walaupun pasukan perubatan berusaha menyelamatkannya selama hampir sejam, mangsa disahkan meninggal dunia.

Susulan tragedi itu, bapa mangsa membuat laporan polis.

Menurut The Paper, pegawai daripada Biro Pengurusan Kecemasan serta Biro Pendidikan dan Sukan menjalankan siasatan di lokasi pada 8 Julai selepas keluarga mangsa membuat beberapa aduan.

Pada 10 Julai, keluarga mangsa diminta kembali ke lokasi kejadian bagi membolehkan Biro Pengurusan Kecemasan Perbandaran Gaobeidian bersama pakar keselamatan menjalankan siasatan di tempat kejadian.

Walaupun keluarga meminta laporan siasatan disiapkan segera, mereka dimaklumkan bahawa laporan itu hanya akan dikeluarkan dalam tempoh 60 hari.

Pada 14 Julai, polis membuka kertas siasatan atas dakwaan kemalangan serius akibat kecuaian, lapor 163.com.

Kolam renang tersebut kini ditutup sementara, manakala polis dan pihak pengurusan kecemasan masih meneruskan siasatan berhubung insiden berkenaan.

Related Articles

Back to top button