Kritikal Akibat Kebakaran Pub Di Bangkok, Wanita Sempat Tanya Teman Lelaki Sama Ada Dia Masih Cantik

Ketika terbaring di luar sebuah pub yang sedang terbakar di Bangkok sambil menunggu pasukan penyelamat tiba, Tatsanai, 31, sempat berpaling kepada teman lelakinya dan bertanya:
“Saya masih cantik?”
Teman lelakinya, Phitsanu Nim-mian, 31, menceritakan detik menyayat hati itu kepada wartawan pada 13 Julai selepas menemani keluarga Tatsanai membuat laporan polis di Balai Polis Phahon Yothin, lapor Khaosod English.
Menurut Phitsanu, Tatsanai sebelum itu berkata: “Saya dah tak tahan. Sakit sangat. Saya masih cantik?”
Phitsanu berkata dia cuba menenangkan kekasihnya dengan memberitahu: “Tak apa. Fokus kepada rawatan dulu. Apa pun yang berlaku kepada awak, saya terima semuanya. Baliklah ke rumah dan bersama anak-anak. Tak kisah apa yang hilang. Saya cuma mahu awak selamat.”
Kebakaran itu berlaku di Na Ladprao Pub, daerah Chatuchak, Bangkok, sekitar jam 12.02 tengah malam pada 13 Julai, mengorbankan sekurang-kurangnya 27 orang dan mencederakan 63 lagi, seperti dilaporkan Mothership.
Kebanyakan mangsa maut akibat terhidu asap tebal.
Api dilaporkan merebak dengan pantas melalui hiasan siling, manakala ramai pengunjung berlari ke tandas di bahagian belakang premis untuk menyelamatkan diri sekali gus menyukarkan usaha menyelamat.
Pada malam kejadian, Tatsanai menghadiri majlis bersama rakan sekerja dari klinik kosmetik tempat dia bekerja.
Dia turut mengajak Phitsanu menyertainya, namun lelaki itu memilih untuk tinggal di rumah bagi menjaga dua anak mereka.
Phitsanu menghantarnya ke premis itu sekitar jam 9 malam dan bercadang mengambilnya semula selepas selesai.
Namun, ketika dalam perjalanan pulang, tayar keretanya pecah sehingga dia terpaksa menghubungi mekanik.
Tidak lama kemudian, dia menerima panggilan daripada seseorang yang bertanya sama ada dia teman lelaki Tatsanai.
Pemanggil pada mulanya memaklumkan telefon Tatsanai hilang sebelum memberitahu bahawa wanita itu mengalami kecederaan melecur yang serius.
Apabila tiba di lokasi, Phitsanu melihat bangunan itu dipenuhi api dan asap hitam tebal.
Tatsanai berjaya keluar menyelamatkan diri, namun terpaksa meredah api kerana laluan keluar yang sempit.
Orang ramai menggunakan kain untuk memadamkan api pada rambut dan kepalanya sebelum dia terbaring di luar premis menunggu bantuan.
Menurut doktor, Tatsanai kini berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami kecederaan melecur pada tangan, kaki, muka dan belakang badan.
Doktor juga mendapatkan kebenaran keluarga untuk mencukur rambutnya bagi memudahkan proses membersihkan luka.
Lawatan ke hospital turut dihentikan sementara bagi mengurangkan risiko jangkitan.
Bapa Tatsanai, Thuan Manpraphan, 61, berkata anaknya sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Paolo Chokchai 4.
Walaupun Tatsanai sudah mula sedar, beliau berkata hampir seluruh badan anaknya mengalami kesan melecur kecuali bahagian muka.
Pihak hospital turut memaklumkan bahawa Tatsanai perlu dipindahkan ke hospital lain untuk rawatan lanjut, namun destinasi hospital tersebut masih belum diputuskan.
Phitsanu berharap semua pusat hiburan menyediakan lebih banyak laluan kecemasan serta papan tanda pemindahan yang jelas.
Katanya, Tatsanai memberitahu pintu masuk dan keluar premis itu sangat sempit.
Beliau turut mengulas dakwaan bahawa pintu keluar kecemasan dikunci bagi menghalang pelanggan keluar tanpa membayar bil.
“Jika benar perkara itu berlaku, ia sama sekali tidak boleh diterima. Wang tidak sepatutnya lebih penting daripada nyawa manusia. Jika tragedi seperti ini berulang, berapa ramai lagi yang akan terkorban dan siapa yang akan bertanggungjawab?” katanya kepada Khaosod English.
Phitsanu turut mendakwa tiada wakil rasmi menghubungi keluarganya untuk memberikan bantuan atau maklumat selepas kejadian.
Bagaimanapun, beliau berkata sempat bertemu Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul, serta Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, di lokasi kejadian sebelum diminta mendaftarkan maklumat di Balai Polis Phahon Yothin.
Menurutnya, mereka memaklumkan bahawa agensi kerajaan akan membantu mangsa dan keluarga yang terjejas.
Sementara itu, Thuan percaya kecuaian pihak premis menjadi antara faktor yang menyumbang kepada tragedi berkenaan dan menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
Di rumah pula, Phitsanu berkata dua anak mereka masih kerap bertanya mengenai ibu mereka.
“Saya hanya mampu beritahu mereka, ‘Ibu belum habis kerja lagi. Ayah akan pergi bawa ibu balik sekejap lagi,”katanya.



