Video Pekerja Pijak Kulit Ayam Tular, Restoran Di Taiwan Mohon Maaf

Sebuah rangkaian restoran ayam goreng di Taiwan berdepan siasatan keselamatan makanan selepas tular video memaparkan seorang pekerja memijak kulit ayam mentah dengan kaki sambil bergurau mengatakan dia sedang ‘menggosok kulit’ (exfoliating).
Video tersebut menunjukkan seorang pekerja lelaki yang tidak berbaju berdiri di dalam sebuah bekas berisi kulit ayam mentah sebelum berulang kali memijaknya.
Beberapa lagi bekas yang dipercayai mengandungi kulit ayam turut kelihatan di belakang.
Menurut UDN, restoran yang terlibat ialah cawangan Wu Liang Wu Fried Chicken di Taiping, Taichung.
Video itu segera mengundang kecaman ramai, dengan ramai pengguna media sosial menyatakan mereka tidak akan lagi membeli makanan di restoran tersebut.
Netizen turut membanjiri ruangan ulasan Google restoran itu dengan penilaian satu bintang, malah ada yang menukar nama premis tersebut kepada ‘Pakar Ayam Goreng Berkaki Ayam’ dan ‘Kedai Refleksologi Kaki’.
Beberapa bekas pelanggan turut meninggalkan komen menuntut bayaran balik, lapor UDN.
Restoran itu kemudian mengeluarkan kenyataan memohon maaf di Threads pada 9 Julai.
Menurut kenyataan tersebut, kulit ayam yang dipaparkan dalam video itu merupakan sisa buangan yang tidak pernah dijual kepada pelanggan, manakala pekerja terbabit merakam video berkenaan sekadar sebagai gurauan tanpa menyangka ia akan tersebar kepada umum.
Restoran itu turut memaklumkan bahawa pekerja terbabit telah dipecat dan tindakan undang-undang akan diambil terhadapnya.
Selain itu, pihak restoran berkata mereka akan memperketatkan latihan kakitangan serta memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
Bagaimanapun, menurut UDN, permohonan maaf itu gagal meredakan kemarahan orang ramai.
Ramai mempersoalkan dakwaan bahawa kulit ayam tersebut hanyalah sisa buangan memandangkan jumlahnya yang banyak dalam video berkenaan.
Seorang netizen menulis, “Sebanyak ini awak kata sisa buangan? Hebat sungguh strategi perhubungan awam.”
Seorang lagi berkata, “Saya langsung tak percaya. Individu dalam video itu nampak macam pemilik restoran sendiri. Pengguna pun boleh nampak.”
Seorang lagi pula mempersoalkan, “Adakah sebarang ujian boleh mengesan sama ada makanan itu pernah dipijak atau tidak?”
Menurut China Times, pihak berkuasa keselamatan makanan Taiwan telah membuka kertas siasatan dan akan menghantar pegawai pemeriksa ke restoran berkenaan.
Jika didapati melanggar garis panduan Amalan Kebersihan Baik (Good Hygiene Practice), restoran itu akan diarahkan mengambil tindakan pembetulan dalam tempoh yang ditetapkan.
Kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan mereka dikenakan denda antara 60,000 dolar Taiwan (RM7,605) hingga 200 juta dolar Taiwan (RM25.3 juta) mengikut Akta Pengurusan Keselamatan dan Kebersihan Makanan Taiwan.



