Gaya Hidup

Nabila Razali Hormat Keputusan Suami Agar Tidak Kerap Dedah Wajah Anak

Penyanyi Nabila Razali, 33, memilih untuk tidak terlalu mendedahkan wajah anak sulungnya, Nik Muhammad di media sosial sebagai menghormati pendirian suaminya, Nik Iruwan Nik Izani yang mahu privasi keluarga terus terpelihara.

Menurut Nabila, dia akur dengan keputusan suaminya itu walaupun pernah menerima beberapa tawaran kerjasama daripada jenama yang memerlukan penglibatan anak mereka.

“Buat masa sekarang saya menghormati keputusan suami yang tidak mahu terlalu mendedahkan anak kepada umum. Memang ada beberapa tawaran yang datang tetapi saya anggap belum rezeki Muhammad lagi.

“Saya juga pernah meminta izin daripada suami, namun dia tetap tidak bersetuju. Kebanyakan jenama pun hanya bekerjasama dengan saya dan tidak mahu membabitkan orang lain termasuk anak sendiri.

“Kalau ada sekali-sekala saya kongsi di media sosial, itu pun sebab ramai yang bertanya tentang perkembangan anak. Sekadar mahu berkongsi bahawa Nik Muhammad ialah anak saya,” katanya.

Mengulas lanjut, penyanyi lagu Peluang Kedua itu berkata, keputusan tersebut bukan bertujuan menyembunyikan anak mereka daripada perhatian umum, sebaliknya bagi menjaga privasi keluarga dan mengelakkan sebarang perkara yang tidak diingini.

Katanya, perkembangan teknologi masa kini termasuk kecerdasan buatan (AI) turut menjadi antara faktor yang membuatkan mereka lebih berhati-hati dalam berkongsi gambar atau wajah anak di platform digital.

“Dengan keadaan dunia sekarang yang macam-macam berlaku termasuk penggunaan AI, saya sendiri pun jadi takut. Sebab itu saya sangat memahami keputusan suami. Bukan hendak menyimpan anak, tetapi lebih kepada menjaga privasi.

“Dalam masa sama, dia juga memahami situasi saya apabila ada sesetengah jenama yang mahukan penglibatan anak untuk menghasilkan kandungan, walaupun tidak terlibat secara langsung,” ujarnya.

Untuk rekod, Nabila mendirikan rumah tangga dengan usahawan, Nik Iruwan Nik Izani pada November 2023. Pasangan itu dikurniakan cahaya mata sulung, Nik Muhammad pada 23 Disember 2024.

Related Articles

Back to top button