Jahit Bibir Rakan Serumah, Wanita 49 Tahun Ditahan

Seorang wanita berusia 49 tahun ditahan di Jepun selepas didakwa menjahit bibir rakan serumahnya yang berusia 42 tahun menggunakan jarum dan benang.
Mangsa hanya berjaya mendapatkan bantuan apabila melarikan diri ke sebuah kedai berhampiran sebelum menunjukkan sekeping nota bertulis “Tolong saya” kepada pekerja premis berkenaan.
Menurut portal berita Jepun, News on Japan, kejadian itu berlaku di Koga, sebuah bandar yang terletak kira-kira sejam perjalanan ke utara Tokyo.
Suspek yang dikenali sebagai Masae Sakurai dilaporkan bekerja secara sambilan.
Dia disyaki menjahit bibir rakan serumahnya beberapa kali kira-kira pukul 1.30 petang pada 29 Jun lalu.
Mangsa memaklumkan kepada polis yang dia tidak dapat melarikan diri lebih awal kerana terlalu takut terhadap Sakurai.
Difahamkan, mangsa telah tinggal di rumah suspek sejak April 2025.
Polis tidak mendedahkan tahap kecederaan yang dialami mangsa, namun mengesahkan keadaannya stabil dan tidak mengancam nyawa.
Seorang penduduk berhampiran berkata, Sakurai jarang bergaul dengan jiran-jiran dan meluahkan rasa terkejut apabila mengetahui mengenai kejadian itu.
Siasatan lanjut oleh pihak polis masih diteruskan.



