Global

Louis Vuitton Menang Saman Terhadap Molly Tea, Terima Pampasan Hampir RM6 Juta

Sebuah mahkamah di China memutuskan rangkaian teh susu Molly Tea telah melanggar tujuh cap dagangan berdaftar milik Louis Vuitton yang menggunakan grafik bunga empat kelopak, lapor China Daily.

Berita itu mula dilaporkan media China pada 2 Julai lalu.

Mahkamah mengarahkan rangkaian teh susu itu membayar pampasan sebanyak 10.3 juta yuan (kira-kira RM6 juta) kepada jenama mewah dari Perancis itu serta menghentikan penggunaan reka bentuk yang melanggar hak cap dagangan.

Syarikat China itu turut diarahkan membuat permohonan maaf secara terbuka.

Kes berhubung persamaan logo tersebut diputuskan oleh Mahkamah Rakyat Pertengahan Suzhou di wilayah Jiangsu.

Molly Tea merupakan syarikat teh susu yang berpangkalan di Shenzhen dan mempunyai cawangan francais di daerah Wuzhong, Suzhou.

Louis Vuitton pula diasaskan di Paris, Perancis pada tahun 1854.

Pertikaian tercetus susulan persamaan antara lambang bunga empat kelopak milik Molly Tea dengan corak monogram ikonik Louis Vuitton.

Jenama mewah Perancis itu memfailkan saman pada Mei 2025. Keputusan mahkamah pula dibuat pada 29 Jun 2026.

Menurut laporan, Molly Tea akan mengemukakan rayuan ke mahkamah yang lebih tinggi. Sejak Mac 2024, Molly Tea bersama syarikat gabungannya telah memfailkan beberapa permohonan cap dagangan yang menampilkan reka bentuk bunga dengan Pentadbiran Harta Intelek Kebangsaan China.

Permohonan tersebut meliputi perkhidmatan restoran dan penginapan, pengiklanan serta makanan mudah.

Bagaimanapun, hanya cap dagangan yang mengandungi tulisan Cina “Molly Tea” berjaya didaftarkan, manakala kebanyakan permohonan lain ditolak.

Kes itu turut mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen di China.

Ada yang berpendapat kedua-dua logo sememangnya mempunyai persamaan, manakala yang lain beranggapan ia masih berbeza memandangkan kedua-dua syarikat beroperasi dalam industri yang berlainan.

Malah, ada juga pengguna media sosial mendakwa corak ikonik Louis Vuitton sendiri mungkin mendapat inspirasi daripada motif tradisional budaya China.

Seorang peguam di China berkata kedua-dua pihak mempunyai hak untuk mengemukakan rayuan.

Menurutnya, keputusan akhir bergantung kepada pihak yang mampu mengemukakan bukti mencukupi bahawa reka bentuk mereka adalah asli dan mempunyai identiti tersendiri.

Dia turut menjelaskan bahawa corak dan motif bunga dalam budaya tradisional China merupakan warisan budaya awam yang boleh digunakan oleh sesiapa sahaja.

Namun, undang-undang cap dagangan China mengamalkan prinsip ‘first to file’, iaitu pihak yang terlebih dahulu mendaftarkan cap dagangan akan memperoleh hak eksklusif, manakala permohonan yang dikemukakan kemudian boleh ditolak.

Related Articles

Back to top button