Tolong Bawa Barang Wanita Malaysia Di Lapangan Terbang, YouTuber Jepun Akui Tindakannya Berisiko

Seorang YouTuber pengembaraan dari Jepun mencuri perhatian ramai di platform X selepas berkongsi pengalaman membantu seorang wanita dari Malaysia mengelakkan caj lebihan bagasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai dengan memasukkan 4 kilogram barang milik wanita itu ke dalam begnya sendiri.
Bagaimanapun, tindakannya itu mengundang pelbagai amaran daripada netizen yang menyifatkan perbuatan tersebut boleh membawa risiko yang sangat berbahaya.
YouTuber yang menggunakan nama @A_chan_tgb itu berkata, wanita asal Malaysia berkenaan membawa bagasi seberat 19 kilogram, sedangkan had yang dibenarkan hanyalah 15 kilogram.
Keadaan itu bermakna wanita tersebut perlu membayar caj lebihan bagasi sebanyak 12,000 yen (RM350).
Bagi membantu mengelakkan caj tersebut, A-chan menawarkan diri untuk membawa 4 kilogram barang milik wanita itu di dalam begnya sendiri.
Dalam hantarannya, A-chan mengakui dia sempat terfikir sama ada barang tersebut mungkin mengandungi dadah.
Namun, dia menolak tanggapan itu dan tetap meneruskan niat untuk membantu.
Menurutnya, dia berharap akan ada orang lain yang sanggup membantunya jika dia berada dalam situasi yang sama suatu hari nanti.
Hantaran itu kemudian menerima pelbagai reaksi daripada pengguna media sosial.
Ramai mengingatkan yang membawa barang milik individu yang tidak dikenali ketika berada di lapangan terbang merupakan antara taktik yang sering digunakan oleh sindiket penyeludupan dadah.
Seorang pengguna, @chitekinajyosei, menulis: “Perkara seperti ini boleh menyebabkan seseorang berdepan hukuman mati. Bergantung kepada negara destinasi atau negara transit, jika dadah ditemui, anda boleh ditangkap dan dihukum mati. Wanita yang terlalu mudah percaya perlu lebih berhati-hati. Dunia tidak seaman Jepun.”
Seorang lagi pengguna, @arcurd00, turut memberi amaran: “Ini sama sekali tidak boleh dilakukan. Kebaikan hati anda memang luar biasa, tetapi anda boleh terjebak dalam jenayah. Bergantung kepada negara dan jenis barang yang dibawa, ada kemungkinan anda tidak akan dapat pulang ke Jepun lagi.”
Walaupun tiada perkara buruk berlaku dalam insiden tersebut, A-chan mengakui dia tidak menyedari betapa berbahayanya tindakannya ketika itu.
“Saya terlalu naif kerana hidup dalam suasana Jepun yang aman. Saya belajar daripada semua orang bahawa tindakan itu sebenarnya sangat berbahaya. Saya kerap melancong ke luar negara dan saya pasti tidak akan melakukannya lagi,” katanya.
Dalam satu hantaran lain, dia turut menulis:
“Ia tetap menjadi kenangan yang baik kerana saya membantu seseorang dengan ikhlas dan kami juga bertukar maklumat untuk dihubungi. Tetapi ia sememangnya tindakan yang sangat berbahaya. Terima kasih atas semua peringatan. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati ketika melancong,” tulisnya.
Sementara itu, laman web Kastam Jepun turut mengeluarkan peringatan kepada pelancong mengenai risiko menjadi mangsa sindiket penyeludupan dadah atau dijadikan keldai dadah tanpa disedari.
Menurut agensi itu, perkara tersebut boleh berlaku apabila seseorang diminta membawa bagasi atau barangan milik orang lain atau menerima permintaan untuk menghantar dokumen dan bungkusan ke luar negara.
Mereka turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap sebarang tawaran yang terlalu bagus untuk menjadi kenyataan.



