Cuba Selamatkan Anjing Tersangkut Di Pagar Berduri, Sami Maut Direnjat Elektrik

Seorang sami Buddha di Thailand meninggal dunia selepas terkena renjatan elektrik ketika cuba menyelamatkan seekor anjing yang tersangkut pada pagar kawat berduri.
Mangsa tidak menyedari pagar tersebut telah dialiri arus elektrik akibat kerosakan pada sebuah tiang elektrik berhampiran.
Menurut laporan Naewna, kejadian yang berlaku pada 1 Julai lalu itu berlaku di Daerah Pathum Ratchawongsa, Wilayah Amnat Charoen.
Sami berusia 37 tahun yang dikenali sebagai Phra Tom merupakan sami dari Wat Nong Nam Khun di kawasan berkenaan.
Ketika sedang melakukan rutin kutipan derma makanan pada awal pagi di kawasan kejiranan, Phra Tom terdengar bunyi salakan seekor anjing yang dipercayai dalam kesusahan.
Dia kemudian menemui haiwan itu tersangkut pada pagar kawat berduri di tepi jalan.
Phra Tom menghampiri pagar tersebut dan menggunakan kedua-dua tangannya untuk merenggangkan kawat supaya anjing itu dapat melepaskan diri.
Namun, dia tidak menyedari bahawa pagar tersebut dialiri arus elektrik voltan tinggi daripada tiang elektrik berhampiran.
Sebaik sahaja tapak tangannya menyentuh pagar itu, dia terkena renjatan elektrik sebelum rebah di lokasi kejadian.
Orang awam yang berada di situ segera memberikan bantuan dan menghubungi pasukan kecemasan.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Pathum Ratchawongsa namun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan.
Menurut Naewna, bedah siasat dijalankan oleh pegawai penyiasat polis bersama doktor hospital. Pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kesan lecur elektrik yang teruk pada kedua-dua belah tangan tanpa sebarang kecederaan lain atau unsur jenayah.
Doktor menyimpulkan bahawa Phra Tom meninggal dunia akibat kegagalan jantung akut selepas arus elektrik voltan tinggi mengalir melalui tubuhnya.
Susulan kejadian itu polis di Wilayah Amnat Charoen mengeluarkan amaran keselamatan kepada orang ramai.



