Viral

“Anak Saya Lebih Takut Dengan Media Sosial Daripada Kemurkaan Allah” – Ibu Zahirah MacWilson

Ibu kepada pelakon, Zahirah Macwilson, Maslinda Yusoff mendedahkan hubungan dengan salah seorang anaknya didakwa sudah lama renggang sejak Ogos tahun lalu.

Maslinda berkata, dia bersama suaminya sudah beberapa kali datang ke Kuala Lumpur bagi memperbaiki hubungan tersebut, namun segala usaha yang dilakukan tidak membuahkan hasil.

“Sebenarnya, hubungan saya dengan anak saya sudah tak rapat sejak Ogos 2024 lagi.

“Dah berkali-kali saya dan suami turun ke Kuala Lumpur cuba memulihkan dan memperbaiki keadaan, secara peribadi dan melalui ustaz sebagai orang tengah, tetapi tidak diterima,” katanya dalam sebuah hantaran.

Bagaimanapun, Maslinda tidak mendedahkan identiti anak yang dimaksudkan.

Menurutnya, dia sebelum ini memilih untuk berdiam diri, namun kesabarannya mula teruji selepas menerima satu mesej daripada anaknya yang disifatkan cukup menggores perasaan.

“Dah lama saya berdiam diri dan bersabar, tetapi bila dia WhatsApp saya dan berkata sesuatu yang sangat menyedihkan dan menyakitkan hati saya, kesabaran saya terus hilang.

“Semakin saya biarkan semakin melampau dan biadab. Sebab itu saya terus berkongsi dalam media sosial.

“Saya tahu anak saya lebih takut dengan media sosial daripada kemurkaan Allah,” ujarnya.

Dalam luahan sama, Maslinda turut meluahkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku dan memilih untuk menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT.

“Semoga doa-doa kami di depan Kaabah dan di Arafah dimakbulkan. Ya Allah, aku tidak berdaya lagi. Aku serahkan segala urusanku kepada-Mu, Ya Allah,” luahnya.

Terdahulu, Maslinda turut mencetuskan perhatian menerusi platform Threads apabila memberi bayangan dia dikenakan syarat tertentu untuk bertemu cucunya.

Perkongsian itu mengundang pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya mendoakan agar hubungan anak beranak itu kembali pulih.

Related Articles

Back to top button