Viral

Video Tular Cetus Kontroversi, Pempengaruh Dakwa Kenyataannya Diputar Belit

Seorang pempengaruh menerima kecaman di media sosial selepas didakwa membandingkan Rimba Jungle Boardwalk di Kuala Lumpur International Airport Terminal 1 (KLIA 1) dengan Jewel Changi Airport.

Salah satu tarikan terbaharu KLIA, Rimba, dibuka secara rasmi pada Januari 2026 dan terletak di kawasan transit KLIA 1.

Pada 17 Jun lalu, Ivor Lim, seorang pempengaruh dan pengasas bersama jenama penjagaan diri tempatan, HYGR, memuat naik sebuah video Instagram Reel yang memaparkan dirinya meneroka ruang berinspirasikan alam semula jadi itu.

Dalam kapsyen hantaran tersebut, dia menulis:

“Versi Malaysia bagi Jewel Changi di KLIA 1. Nikmati hembusan terakhir udara tropika Malaysia sebelum berlepas, walaupun ada beberapa burung yang tidak sebenar.”

Dalam video itu, dia berjalan melalui kawasan tarikan tersebut sambil memaparkan pelbagai elemen yang terdapat di situ, termasuk replika bunga Rafflesia, burung enggang dan sebuah arca air terjun.

Dia mengakhiri video itu dengan menyatakan bahawa tarikan tersebut sesuai untuk pelancong merasai pengalaman hutan tropika Malaysia.

Hantaran itu menjadi tular selepas seorang pengguna media sosial mengambil sebahagian rakaman video Lim dan menyuntingnya, sebelum mendakwa beliau mengkritik Rimba di KLIA 1.

Pengguna tersebut turut mendakwa Ivor mengatakan Malaysia ketinggalan serta menuduh Rimba meniru konsep Jewel Changi Airport.

Video berkenaan, yang kini telah dipadamkan tetapi sempat dikongsi semula di Threads, turut menggesa orang ramai memboikot jenama kecantikan HYGR milik Ivor.

Bagaimanapun, terdapat juga pengguna media sosial yang tampil mempertahankan Ivor dan berpendapat video asalnya bersifat positif serta jujur.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Threads pada 18 Jun, Ivor menjelaskan: “Pada bila-bila masa pun saya tidak pernah menyebut kata-kata yang didakwa oleh penulis hantaran tersebut.

“Saya juga tidak pernah mengatakan atau memberi gambaran bahawa Malaysia adalah negara yang buruk, lebih rendah atau tidak mampu menghasilkan pengalaman bertaraf dunia,” tulisnya.

Menurut Icor, video yang sedang tular itu telah disunting secara terpilih dengan beberapa bahagian penting perbualan dibuang sehingga menghasilkan naratif yang mengelirukan dan tidak menggambarkan pandangannya yang sebenar.

“Saya memohon maaf jika video tersebut telah memberikan tanggapan yang salah, sesuatu yang tidak pernah saya niatkan,” katanya.

Ivor turut menegaskan video yang disunting itu memberi gambaran palsu seolah-olah dirinya mengkritik Malaysia atau Rimba, sedangkan perkara tersebut tidak benar.

“Niat saya adalah untuk membincangkan pengalaman pelanggan dan aspek yang boleh ditambah baik dari sudut yang membina, bukannya memperlekeh Malaysia atau mana-mana perniagaan tempatan,” katanya.

Ivor turut meminta orang ramai merujuk kepada video penuh yang dimuat naik olehnya sebelum membuat sebarang kesimpulan.

Dia memberitahu yang dirinya kini sedang mendapatkan nasihat undang-undang dan akan mengambil segala langkah yang perlu bagi melindungi reputasi dirinya serta jenamanya.

Related Articles

Back to top button