Wanita Tunda Penerbangan Sebab Anak Conteng Pasport Ibu Dengan Lukisan Dinosaur

Seorang wanita berkongsi pengalaman mencemaskan selepas pasportnya diconteng oleh anak lelaki yang berusia tiga tahun ketika dia sedang membuat persiapan untuk perjalanan kerja.
Menerusi satu hantaran di Threads, wanita itu mendedahkan kejadian yang berlaku pada malam 6 Jun lalu.
Menurutnya, ketika sedang mengemas bagasi untuk perjalanan kerja, anaknya berjaya mendapatkan pasport miliknya.
Kanak-kanak itu kemudian menconteng pasport tersebut menggunakan pen mata bola berwarna biru.
“Hati rasa nak menangis,” tulisnya.
Dalam hantaran tersebut, anaknya kelihatan tersenyum sambil memegang pasport yang telah rosak itu.
Kanak-kanak berkenaan juga dipercayai melukis gambar menyerupai seekor dinosaur pada salah satu halaman pasport tersebut.
Dalam satu hantaran susulan, wanita itu berseloroh dengan menulis: “Saya benci dinosaur!” tulisnya.
Selepas menyedari kerosakan itu, dia bergegas ke pejabat Jabatan Imigresen di Putrajaya untuk mendapatkan bantuan.
Bagaimanapun, pegawai imigresen mengesahkan pasport berkenaan telah rosak dan tidak lagi boleh digunakan untuk tujuan perjalanan.
Memandangkan kejadian berlaku pada hari Sabtu, dia tidak dapat mendapatkan pasport baharu serta-merta dan terpaksa menunggu sehingga hari Isnin untuk membuat penggantian.
Akibatnya, wanita tersebut tidak dapat menaiki penerbangannya seperti yang dirancang.
Dia kemudiannya menghubungi syarikat penerbangan Qatar Airways dan menjadualkan semula penerbangannya ke petang Isnin, yang menyebabkan dia perlu menanggung kos tambahan sebanyak RM620 bagi perubahan jadual penerbangan.
Walaupun berdepan situasi yang menyusahkan, wanita itu mengambil perkara tersebut dengan positif dan bergurau anaknya mungkin hanya mahu memeluknya beberapa hari lagi sebelum dia berangkat.
Dia turut menjelaskan bahawa dia tidak marah kepada anaknya kerana kanak-kanak itu masih kecil dan belum memahami akibat perbuatannya.
Menurutnya, anaknya masih tersenyum ceria selepas kejadian tersebut.
Wanita itu juga meluahkan penghargaan kepada pegawai imigresen yang membantunya sepanjang proses mendapatkan penjelasan mengenai pasport yang rosak itu.



