Concert

Undang Biduanita Negara Ke Konsert? Faizal Tahir Serah Kepada Penganjur

Penyanyi dan komposer, Faizal Tahir, 47, tidak menolak kemungkinan menampilkan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai artis jemputan istimewa sempena Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat yang dijadual berlangsung di Unifi Arena Kuala Lumpur pada 3 Oktober depan.

Bagaimanapun, Faizal menjelaskan perkara itu masih bergantung kepada kemampuan pihak penganjur dalam menyediakan bajet yang bersesuaian memandangkan Siti merupakan antara nama besar dalam industri muzik tempatan.

Menurut Faizal, soal menampilkan penyanyi bertaraf legenda bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan kerana melibatkan kos yang tinggi dan perlu dibincangkan secara terperinci bersama pihak penganjur, Hitman Solutions.

“Kita kena realistik. Kalau mahu bawa nama besar, tentunya memerlukan bajet yang besar juga. Soal itu pihak penganjur yang lebih tahu kerana mereka menguruskan perbelanjaan.

“Kalau mahukan persembahan berkualiti dan membabitkan penyanyi legenda, sudah tentu ada nilai yang perlu dibayar,” katanya.

Pada masa sama, pelantun lagu Sampai Syurga itu menegaskan dia tidak pernah meletakkan soal mahu atau tidak bekerjasama dengan mana-mana artis kerana baginya, apa yang lebih penting adalah keselesaan semua pihak.

“Saya mahu semuanya berjalan dengan mudah dan semua orang gembira untuk bekerjasama,” katanya lagi.

Faizal turut mengakui dia tidak mahu memaksa mana-mana artis untuk terlibat sekiranya keadaan menjadi rumit atau dilakukan dalam keadaan terpaksa.

“Kalau saya rasa susah untuk mendapatkan Siti dan beliau pula melakukannya kerana terpaksa, saya sendiri tidak mahu perkara itu berlaku.

“Nama beliau hanya sebagai contoh dan bukan bermaksud beliau sudah sah menjadi artis jemputan untuk konsert ini,” jelasnya lagi.

Tambah Faizal, fokus utamanya ketika ini adalah memastikan keseluruhan pasukan produksi termasuk rakan strategik dan pihak Hitman Solutions berada dalam suasana kerja yang positif sepanjang proses persiapan konsert berlangsung.

Katanya, pada tahap kerjaya dan usia sekarang, beliau lebih gemar memilih pendekatan kerja yang ringkas serta tidak menyusahkan mana-mana pihak.

“Cara saya bekerja sekarang lebih kepada mempermudahkan urusan semua orang. Kalau sesuatu perkara itu terlalu sukar untuk direalisasikan, tidak mengapa. Kita teruskan sahaja dengan perkara lain yang lebih mudah,” katanya.

Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat bakal menjadi sebuah persembahan istimewa yang menghimpunkan perjalanan seni hampir dua dekad Faizal sejak mula mencipta nama menerusi program realiti One In A Million.

Related Articles

Back to top button