Didakwa Baling Sup Kepada Rider, Pekerja Kedai Serbaneka Digantung Tugas

Seorang pekerja kedai serbaneka yang didakwa terlibat dalam insiden tular membaling sup terhadap seorang penghantar makanan telah digantung tugas sementara siasatan dalaman dijalankan.
Menurut FMT, rangkaian kedai serbaneka tersebut memaklumkan bahawa pihak mereka memandang serius perkara itu dan sedang mengambil tindakan sewajarnya.
“Pasukan kami sedang menjalankan siasatan dengan segera dan pekerja yang didakwa terlibat telah digantung tugas buat sementara waktu,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan kepada FMT.
Syarikat itu turut menegaskan bahawa mereka tidak bertolak ansur terhadap sebarang tingkah laku kasar, tidak selamat atau tidak menghormati sesiapa sahaja di premis mereka.
Tambah mereka lagi, tindakan lanjut akan diambil sekiranya perlu dan orang ramai diminta bersabar sementara siasatan masih dijalankan.
Perkembangan itu hadir selepas sebuah video berdurasi 23 saat mengenai insiden tersebut tular di media sosial hari ini.
Dalam rakaman tersebut, pertikaian dapat dilihat berlaku antara seorang penghantar makanan dan seorang kakitangan kedai serbaneka.
Rider yang memuat naik mengenai insiden itu di TikTok mendakwa dia telah bertanyakan tentang pesanannya sebelum pekerja wanita terbabit didakwa bertindak kasar dan membaling sup ke arahnya.
Video tersebut kemudiannya tersebar ke platform media sosial lain, dengan ramai netizen menggesa agar insiden itu disiasat.



