Viral

Gara-Gara Menagih Dadah & Pinjam Ah Long, Ibu ‘Buang’ Anak

Seorang ibu di Johor terpaksa membuat keputusan berat apabila memutuskan hubungan dengan anak lelakinya yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah serta meminjam wang daripada ah long.

Akibat tindakan anaknya itu, keluarga mereka didakwa diganggu tanpa henti oleh pemberi pinjaman wang haram yang turut menghantar mesej ugutan sekiranya hutang gagal dilunaskan.

Menurut China Press, wanita yang dikenali sebagai Yu itu mempunyai tiga orang anak dan anak lelaki terbabit merupakan anak sulungnya.

Ketika bercakap dalam satu sidang media, Yu berkata, anaknya bekerja di Singapura di sebuah kedai barangan elektronik sebelum terpengaruh dengan rakan-rakan yang salah sehingga terjebak dengan dadah.

Selepas kehilangan pekerjaan pada April tahun ini, anaknya mula mengurung diri dalam bilik dan menunjukkan tingkah laku yang tidak normal.

“Saya perasan percakapannya sudah tidak jelas dan cara dia berjalan juga tidak stabil. Saya terus tahu keadaan emosinya tidak baik dan saya percaya dia mengambil dadah,” katanya seperti dilaporkan Sin Chew Daily.

Bimbang dengan keadaan anaknya, Yu membuat laporan polis dan merancang menghantarnya ke pusat pemulihan.

Malangnya, anaknya dipercayai mengetahui rancangan tersebut lalu segera mengemas barang dan meninggalkan rumah ketika Yu sedang bekerja. Sejak 12 Mei lalu, dia tidak lagi dapat dihubungi.

Pada 17 Mei, Yu mula menerima panggilan daripada ah long yang mendakwa anaknya meminjam RM2,000 dan menuntut bayaran RM8,000 kerana hutang tersebut sudah lewat empat hari.

“Apabila saya kata saya tak mampu bayar, mereka kata jangan menipu kerana mereka mungkin tahu anak perempuan saya bekerja di Singapura.

“Mereka juga menghantar mesej ugutan kepada keluarga dan anak perempuan saya seperti ‘jangan salahkan saya’ dan ‘awak takkan selesaikan perkara ini sendiri’.” katanya.

Yu berkata, ini merupakan kali pertama keluarganya berdepan masalah dengan ah long. Dia turut menjelaskan dirinya berpendapatan rendah manakala anak perempuannya kini menganggur.

Suaminya pula tinggal serumah tetapi hubungan mereka sudah lama renggang. Disebabkan tiada pilihan lain, Yu akhirnya membuat keputusan menyayat hati untuk memutuskan hubungan dengan anak lelakinya dan mengakui dia sudah bersedia menghadapi kemungkinan terburuk.

Walaupun begitu, dia tetap percaya anaknya sebenarnya seorang yang baik namun tersalah langkah akibat pengaruh rakan-rakan.

“Mungkin dia menghadapi masalah kewangan selepas hilang kerja dan itu menyebabkan dia meminjam wang daripada ah long untuk menampung ketagihan dadahnya.

“Namun saya percaya dia masih boleh mempunyai masa depan sekiranya bertemu dengan orang yang betul,” katanya.

Related Articles

Back to top button