“Saya Pilih Akhirat” – Jai Wahab Tinggalkan Dunia Nyanyian

Penyanyi, Jai Wahab mengesahkan dia kini telah meninggalkan sepenuhnya dunia seni meskipun pernah menerima tawaran untuk menyertai program realiti popular Gegar Vaganza (GV) suatu ketika dahulu.
Menurut penyanyi kelahiran Singapura itu, keputusan untuk tidak menerima tawaran berkenaan dibuat kerana dia memilih untuk memberi keutamaan kepada ibadah umrah serta perubahan hala tuju hidup yang lebih tertumpu kepada akhirat.
“Dulu Alhamdulillah saya seorang penulis lagu, penyanyi dan penerbit muzik. Saya pernah terbabit dalam Anugerah Industri Muzik (AIM) dan Anugerah Planet Muzik (APM), selain bergerak seiring dengan rakan artis seperti Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, Hazama dan Misha Omar.
“Saya juga pernah dipelawa menyertai Gegar Vaganza (GV), tetapi pada tahun sama saya memilih untuk menunaikan ibadah umrah. Saya pilih akhirat,” katanya ketika ditemui semasa pelancaran agensi pelancongan dan umrah, Karva Travel & Tours baru-baru ini.
Dalam masa sama, Jai menegaskan fasa kehidupannya sebagai penggiat seni kini sudah berakhir selepas melalui pelbagai pengalaman dalam industri muzik.
Katanya, walaupun pernah aktif sebagai penyanyi, penulis lagu dan penerbit, dia tidak lagi melihat bidang tersebut sebagai fokus utama kehidupan.
“Saya sudah melalui semua fasa dalam bidang nyanyian dan bersyukur diberi peluang berkarya dengan ramai insan hebat. Saya pernah bekerja dengan Allahyarham Adnan Abu Hassan dan ramai penerbit muzik lain,” ujarnya lagi.
Tambahnya, segala pengalaman yang dilalui sepanjang bergelar anak seni dianggap sebagai satu perjalanan berharga yang banyak membentuk dirinya hari ini.
“Saya rasa tanggungjawab dan misi hidup saya sekarang lebih besar daripada dunia seni,” ungkap Jai.



