
Usahawan dan pelakon, Syida Melvin meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa suaminya, Syafiq Shaheen masih gagal melunaskan beberapa hutang melibatkan syarikat perniagaan mereka sehingga membuatkan dirinya berasa teraniaya.
Syida mendakwa dia sudah banyak berkorban termasuk mengeluarkan modal sendiri demi memastikan perniagaan yang dibina bersama dapat beroperasi dengan baik.
“Tak sangka akhirnya aku kena jadi ‘pengemis’ dalam syarikat yang ada nama aku sendiri. Aku sanggup lebur harta demi nak siapkan modal perniagaan sampai boleh berjalan.
“Aku bukan ambil gaji besar pun setiap bulan, tapi ini balasan yang aku dapat,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Menurut Syida lagi, dia sudah berkali-kali meminta agar hutang syarikat yang menggunakan namanya diselesaikan, namun sehingga kini perkara itu masih tertunggak.
Malah, dia turut mendakwa suaminya bertindak menghalang urusan kewangannya termasuk menyekat transaksi pembayaran yang ingin dibuat bagi melangsaikan hutang syarikat.
“Aku suruh bayar hutang syarikat yang guna nama aku pun asyik tertunggak. Nak buat online transfer pun susah.
“Bila aku keluarkan duit bank untuk bayar hutang kad kredit syarikat, dia pula hubungi bank suruh sekat dan tarik balik duit yang dah masuk dalam akaun aku.
“Siap buat laporan polis kononnya cek syarikat hilang, padahal dia tahu cek itu memang ada dengan aku. Motifnya sebab tak nak bagi aku keluarkan duit,” dakwanya lagi.
Dalam pada itu, Syida turut mendakwa suaminya gagal membuat bayaran rumah kelamin mereka selama dua bulan walaupun kediaman tersebut didaftarkan atas namanya.
Menurut Syida, keadaan itu menyebabkan pihak bank mengejarnya setiap hari bagi urusan pembayaran bulanan rumah berkenaan.
“Rumah kelamin atas nama aku pun dua bulan tak bayar. Bank hari-hari cari aku.
“Dia duduk seorang diri di rumah besar itu, sedangkan aku dan anak terpaksa menumpang di rumah keluarga sebab masih dalam proses perceraian. Aku dah cuba minta secara baik, tapi tetap tak dilayan,” katanya.
Syida turut mengakui tidak pernah menyangka dirinya perlu melalui situasi seperti itu kerana sebelum ini dia hanya melihat kisah rumah tangga orang lain dikongsikan di media sosial.
“Aku tak sangka benda ini akan jadi dekat diri sendiri. Dulu aku selalu tertanya kenapa orang sanggup buka cerita perceraian di media sosial, sampailah aku sendiri kena hadap individu narsisistik.
“Mungkin juga selama ini orang luar tertanya kenapa kami jarang bergambar bersama waktu raya. Bukan aku tak teringin nak rapat dengan keluarga mentua macam keluarga sendiri,” luahnya lagi.



