Gaya Hidup

Pembawa Talasemia, Doktor Nasihat Shila Amzah Jangan Hamil Lagi

Penyanyi, Shila Amzah, 36, terpaksa melupakan hasrat untuk menimang cahaya mata ketiga selepas dinasihatkan doktor agar tidak lagi hamil demi keselamatan dirinya.

Menurut pemilik nama sebenarnya Nurshahila Amir Amzah, dia berdepan risiko tinggi sekiranya kembali mengandung kerana merupakan pembawa talasemia yang menyebabkan tahap darah dalam badannya rendah.

Katanya, keadaan itu boleh mengundang komplikasi serius terutama ketika proses bersalin yang lazimnya melibatkan banyak kehilangan darah, sama ada secara normal mahupun pembedahan.

“Doktor cakap saya tak digalakkan hamil lagi sebab ketika bersalin memang akan berlaku pertumpahan darah yang banyak.

“Bagi individu yang mempunyai masalah kekurangan darah seperti saya, risikonya agak tinggi dan boleh membahayakan,” katanya.

Pelantun lagu Patah Seribu itu turut berkongsi, dia hanya mengetahui dirinya pembawa talasemia ketika sedang hamil anak sulungnya, Seth Uwais.

Menurutnya, doktor ketika itu terkejut melihat bacaan hemoglobinnya yang terlalu rendah sehingga mencecah paras enam, namun dia masih mampu menjalani rutin harian seperti biasa.

“Biasanya ibu mengandung akan periksa bacaan hemoglobin dan saya punya memang terlalu rendah. Doktor sendiri hairan macam mana saya masih boleh berjalan.

“Selepas buat pemeriksaan darah lanjut, barulah saya tahu saya pembawa talasemia. Saya dapat tahu semua itu ketika mengandungkan Seth,” ujarnya lagi.

Walaupun pernah menyimpan impian untuk memiliki keluarga besar, Shila berkata dia reda dengan ketentuan tersebut dan kini mahu memberi sepenuh perhatian kepada dua cahaya matanya, Seth dan Rhea Akira.

“Saya reda dan okey sahaja. Dalam keadaan ekonomi sekarang, dua anak pun sudah mencukupi.

“Memang ada impian nak keluarga lebih besar sebab lebih meriah, tetapi bila doktor nasihatkan begitu, saya terima sahaja.

“Mungkin Allah mahu kami lebih fokus kepada Seth dan Rhea,” ungkapnya lagi.

Dalam masa sama, Shila bersyukur apabila suaminya, Ubai sangat memahami keadaan kesihatannya dan sentiasa meletakkan keselamatan dirinya sebagai keutamaan.

“Suami saya sangat memahami dan santai orangnya. Untuk keputusan besar seperti ini, kami akan berbincang bersama.

“Dia selalu cakap, ‘Ini badan awak, apa sahaja yang buat awak selesa, saya akan terima,’” katanya.

Sebelum ini, Shila pernah mendedahkan dirinya menghidap talasemia yang diwarisi daripada sebelah bapanya.

Shila mendirikan rumah tangga dengan Ubai pada Ogos 2023 dan mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Rhea Akira. Penyanyi itu turut mempunyai seorang anak lelaki, Seth Uwais hasil perkahwinan terdahulu.

Related Articles

Back to top button