Concert

Umbrella Gegar Utara Tanah Air, Zarul Janji Kembalikan Nostalgia Buat Peminat

Vokalis kumpulan legenda Umbrella, Zarul Husin, meluahkan keterujaannya menjelang penganjuran Konsert Seribu Rahmat Umbrella yang bakal berlangsung pada 6 Jun hadapan di Dewan Mu’adzam Shah, Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok.

Menurut Zarul, konsert tersebut bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya menjadi medan mengimbau kembali perjalanan seni Umbrella yang pernah mencetuskan fenomena besar pada era 90-an.

“Ini merupakan kali pertama Umbrella mengadakan konsert di UUM. Hubungan ini terjalin secara unik memandangkan pemain bass kami sendiri merupakan kakitangan di universiti tersebut.

“Kami bakal mempersembahkan kira-kira 13 buah lagu yang diambil sepenuhnya daripada album Seribu Rahmat dan Hujan Panas. Ini benar-benar sebuah perjalanan penuh nostalgia memandangkan ketika sesi latihan, saya sendiri beremosi kerana sudah lama tidak menyanyikan lagu-lagu tersebut,” katanya.

Tambah beliau, pemilihan lagu dibuat khusus bagi memberi pengalaman paling dekat dengan memori peminat setia yang mengikuti perjalanan Umbrella sejak awal kemunculan mereka.

“Kami mahu penonton merasai sebuah ‘perjalanan’ tatkala menonton konsert ini nanti. Lagu-lagu yang dipilih adalah yang cukup dekat di hati peminat tegar, termasuk kemungkinan lagu daripada album Payung Sakti dan persembahan solo saya sendiri.

“Ini adalah hadiah buat mereka yang setia menyokong kami sejak awal 90-an,” ujarnya lagi.

Zarul dan Zamani menghiburkan tetamu sempena sidang media baru-baru ini.

Konsert anjuran Pertubuhan Bahtera Prihatin Rakyat Perlis (PBPRP) itu bakal menghimpunkan tiga generasi peminat menerusi gabungan artis daripada era berbeza. 

Selain Umbrella sebagai teraju utama, konsert berkenaan turut menampilkan penyanyi terkenal Zamani serta kumpulan popular generasi baharu Floor 88.

Gabungan tersebut dirangka bagi menyatukan peminat muzik daripada era 90-an hinggalah generasi muda masa kini.

Pentas konsert dijangka berlangsung selama lebih dua jam 30 minit dengan rangkaian hampir 20 lagu hit. 

Antara karya ikonik yang bakal dipersembahkan termasuk Ramalanku Benar Belaka dan Bukalah Hatimu oleh Umbrella.

Floor 88.

Sementara Zamani pula akan membawakan lagu malar segar seperti Gerimis Mengundang dan Kembali Terjalin. Floor 88 pula dijangka memeriahkan suasana dengan lagu-lagu bertenaga seperti Hutang dan Chikadun.

Keistimewaan konsert ini turut diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang akan memaparkan video lama perjalanan seni Umbrella menerusi olahan digital, termasuk rakaman arkib dan sedutan di sebalik tabir yang jarang dipertontonkan kepada umum.

Malah, buat julung kalinya juga, Umbrella dan Zamani akan berkongsi pentas menerusi sebuah persembahan medley khas yang menggabungkan lagu-lagu hit kedua-dua nama besar tersebut.

Menurut PBPRP, pemilihan Kedah sebagai lokasi konsert merupakan sebahagian usaha desentralisasi industri kreatif bagi membuktikan acara bertaraf besar tidak hanya tertumpu di Kuala Lumpur.

Dewan Mu’adzam Shah dipilih kerana fasiliti profesionalnya yang setanding dewan konsert utama negara, selain kedudukannya yang strategik untuk peminat dari Perlis, Pulau Pinang, Perak Utara dan selatan Thailand.

Konsert ini turut mendapat sentuhan kreatif komposer terkenal Dr Azmeer selaku penerbit muzik, bagi memastikan kualiti susunan muzik dan audio berada pada tahap terbaik. 

Penganjuran acara itu juga melibatkan lebih 150 petugas tempatan dalam usaha merancakkan ekonomi kreatif wilayah utara.

Bagi peminat yang ingin turut serta, tiket untuk konsert kini telah mula dijual dengan harga RM50, RM100 dan RM150.

Related Articles

Back to top button