Ikmal Amry Dakwa Pernah Dicabul

Pelakon Ikmal Amry, 32, tampil berkongsi kisah peribadi yang selama ini dipendam apabila mendedahkan pernah melalui pengalaman menjadi mangsa gangguan seksual sejak usia kanak-kanak, sekali gus meninggalkan trauma berpanjangan dalam hidupnya.
Menurut Ikmal, pengalaman pertama yang dilaluinya berlaku ketika dia masih kecil, sekitar usia tujuh atau lapan tahun, melibatkan seorang pekerja yang tinggal bersama keluarganya pada waktu itu.
Katanya, disebabkan masih terlalu muda, dia pada mulanya tidak memahami apa yang berlaku dan menyangka perlakuan individu terbabit adalah sesuatu yang normal.
“Ketika itu saya masih kecil, jadi saya tidak tahu apa sebenarnya yang sedang berlaku. Pada awalnya saya fikir itu perkara biasa, tetapi lama-kelamaan saya mula rasa pelik dan tidak selesa.
“Apabila perkara itu berulang, saya ambil keputusan untuk menjauhkan diri dengan menukar tempat tidur,” katanya ketika muncul dalam sebuah podcast.
Tambah Ikmal, dia pernah cuba memaklumkan perkara itu kepada bapanya, namun situasi tersebut dipercayai tidak diberi perhatian serius kerana usianya ketika itu masih terlalu muda untuk menjelaskan apa yang berlaku.
“Saya ada cuba bercerita, tetapi mungkin sebab saya budak lagi, perkara itu dianggap sekadar gurauan atau salah faham.
“Bila tiada siapa benar-benar faham apa yang saya lalui, saya memilih untuk pendam,” katanya lagi.
Lebih memilukan, Ikmal berkata trauma sama kembali menghantuinya ketika berada di asrama sekolah apabila dia sekali lagi didakwa menjadi mangsa gangguan seksual, kali ini melibatkan individu yang dianggap rakan sendiri.
Menurutnya, pengalaman berulang itu memberi impak besar terhadap kesihatan mental sehingga dia berdepan tekanan emosi yang serius.
“Saya melalui fasa yang sangat sukar. Emosi saya terganggu dan saya sering tertanya-tanya kenapa perkara itu berlaku kepada saya. Ketika itu, saya memang berdepan tekanan yang agak berat,” ungkapnya.
Bagaimanapun, Ikmal bersyukur kerana berjaya melalui episod hitam tersebut dengan sokongan keluarga, terutama ibunya yang menjadi sumber kekuatan terbesar dalam proses pemulihannya.
“Bila pulang ke rumah dan bersama ibu, saya mula rasa lebih tenang. Sedikit demi sedikit saya belajar untuk pulih. Bagi saya, doa seorang ibu dan hubungan yang rapat dengan Tuhan banyak membantu saya untuk bangkit semula,” katanya.



