Pesan Stik RM23, Pelanggan Kecewa Dapat Daging Nipis Macam Beef Bacon

Seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa selepas memesan stik di sebuah restoran tetapi hanya menerima dua keping daging lembu nipis yang langsung tidak menyerupai hidangan dalam menu.
Seorang pengguna Threads, @cuaaaaaoraite._ memuat naik aduan tersebut pada 11 Mei lalu sehingga menjadi tular di media sosial.
Menerusi hantaran berkenaan, pengguna tersebut memuat naik dua keping gambar.
Gambar pertama merupakan gambar menu restoran yang memaparkan potongan steak tebal berharga RM23.
Manakala gambar kedua menunjukkan hidangan sebenar yang diterima pelanggan iaitu dua keping daging lembu nipis yang kelihatan seperti bacon daging.
Hantaran itu telah dilihat lebih 510,000 kali, menerima 11,400 tanda suka dan 1,500 komen.
Menerusi kapsyen, pelanggan berkenaan meluahkan rasa kecewa terhadap perbezaan ketara antara gambar menu dan makanan sebenar.
“Tolong jangan guna gambar AI kalau nak berniaga. Bayangkan orang yang lapar dan tertekan dapat makanan macam ni. Sangat mengecewakan sebab daging keras, liat dan tak panas pun,” tulisnya.
Di ruangan komen, pelanggan itu menjelaskan dia memesan hidangan tersebut sekitar pukul 1.30 pagi selepas baru pulih daripada demam.
Dia tidak mengharapkan makanan itu kelihatan 100 peratus sama seperti dalam gambar, namun potongan daging yang diterima terlalu nipis.
Dalam gambar menu restoran itu, terdapat satu notis kecil di bahagian bawah kanan yang menyatakan bahawa gambar hanya untuk tujuan ilustrasi.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada gambar tersebut benar-benar dijana menggunakan kecerdasan buatan (AI).
Menurut netizen, walaupun terdapat penafian, hidangan steak yang diterima masih kelihatan terlalu berbeza berbanding gambar dalam menu.
Ada juga netizen mendakwa apa yang dihidangkan sebenarnya bukan steak, sebaliknya lebih menyerupai beef bacon.
Selain itu, segelintir netizen turut berpendapat restoran tersebut mungkin menggunakan gambar carian Google atau melakukan pengiklanan mengelirukan kerana tidak mampu menyediakan hidangan seperti yang dipaparkan dalam menu.



