Podcast

Nafi Gaduh, Zarul Umbrella Hormat Keputusan CK Faizal Tinggalkan Podcast

Penyanyi, Zarul Umbrella tampil menjelaskan keadaan sebenar hubungannya dengan CK Faizal selepas timbul dakwaan kononnya mereka kini bermasam muka susulan pengunduran CK daripada podcast Borak Dalam Galley (BDG).

Menurut Zarul, keputusan CK untuk meninggalkan podcast berkenaan tidak pernah menimbulkan sebarang konflik antara mereka, malah dia sendiri mengakui agak terkejut apabila menerima notis pemakluman pengunduran itu dalam tempoh singkat.

“Kami sebelum itu masih menjalani penggambaran raya bersama seperti biasa. Selepas selesai penggambaran, tiba-tiba dia maklumkan mahu berundur dalam masa 24 jam, jadi memang saya terkejut juga.

“Tetapi selepas fikir semula, mungkin dia mahu beri perhatian kepada perkara lain atau cuba sesuatu yang baharu selepas lama fokus kepada podcast itu,” katanya.

Tambah Zarul, dia sendiri tidak mengetahui alasan sebenar di sebalik keputusan tersebut dan memilih untuk menghormati pendirian rakannya itu.

“Saya tak boleh jawab bagi pihak dia sebab hanya CK yang tahu sebab sebenar. Apa pun, saya hormat keputusan itu dan teruskan sahaja perjalanan BDG seperti biasa,” ujarnya.

Mengulas mengenai hubungan mereka, Zarul menegaskan persahabatan mereka masih baik dan tiada sebarang perselisihan faham seperti yang diperkatakan netizen.

“Malah dua hari lepas kami ada berjumpa, masih boleh bergelak ketawa macam biasa. Tak ada gaduh atau kecil hati pun.

“Saya masih sayang dan hargai dia sebab BDG juga mula dikenali ramai dengan bantuan serta usaha dia selama ini,” katanya lagi.

Terdahulu, CK mengumumkan pengundurannya daripada podcast BDG menerusi satu hantaran di Instagram pada 21 Mac lalu selepas tiga tahun mengendalikan program tersebut.

Related Articles

Back to top button