Viral

Nabila Huda Tegur Netizen Suka Sibuk Hal Orang Lain – ‘Terlalu Banyak Kebencian’

Pelakon, Nabila Huda, 41, meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir netizen yang dilihat semakin gemar menyebarkan kebencian dan menghakimi orang lain di media sosial.

Menurut Nabila, budaya meninggalkan komen negatif seolah-olah sudah menjadi perkara biasa sehingga membuatkan dia tertanya-tanya bagaimana individu seperti itu dibesarkan.

“Dalam era media sosial sekarang, saya rasa ramai makin sakit. Terlalu banyak kebencian yang ditunjukkan secara terbuka.

“Saya selalu tertanya-tanya, macam mana cara mereka dibesarkan sampai begitu mudah mengecam dan menjatuhkan orang lain,” katanya menerusi satu hantaran.

Nabila bagaimanapun mengakui pengalaman pahit yang pernah dilalui ketika membesar banyak mengajar dirinya untuk melihat kehidupan dari sudut berbeza.

Menurut bintang filem Gayong itu, pengalaman silam membuatkan dia lebih memilih untuk memahami daripada terus menghukum seseorang.

“Saya sendiri ada trauma zaman kanak-kanak dan daripada situ saya belajar banyak perkara. Sebab itu saya tak suka menilai orang sesuka hati,” ujarnya.

Dalam masa sama, Nabila turut menitipkan nasihat agar orang ramai berhenti mencari kesalahan individu lain kerana setiap manusia sedang melalui perjalanan hidup yang berbeza.

Katanya, tiada siapa benar-benar tahu ujian yang sedang ditanggung seseorang di sebalik apa yang dipaparkan di media sosial.

“Jangan terlalu cepat menghukum, jangan sibuk cuba betulkan hidup orang lain. Kita tak pernah tahu apa yang seseorang sedang lalui atau apa yang akan berlaku dalam hidup kita sendiri nanti,” katanya lagi.

Menerusi perkongsian sama, Nabila turut mengakui dia sendiri sudah melalui pelbagai fasa kehidupan yang mematangkan dirinya.

Disebabkan itu, Nabila memilih untuk tidak lagi melayan ‘bunyi bising’ atau kecaman yang dilemparkan terhadap dirinya.

“Saya dah pernah melalui macam-macam perkara dalam hidup. Itulah sebabnya sekarang saya tak dengar sangat semua bunyi bising di luar sana.

“Kamu tak berada dalam perjalanan hidup saya. Saya akan terus melangkah, terus meneroka watak dan mengejar impian saya,” ungkapnya lagi.

Related Articles

Check Also
Close
Back to top button