Ella Mahu Catat Sejarah Baharu Di Pulau Pinang

Bagai sirih pulang ke gagang, itu juga perumpamaan yang tepat menggambarkan kepulangan Ratu Rock Negara yang bakal kembali mengadakan persembahan berskala besar di Pulau Pinang.
Pengumuman yang baru sahaja dibuat oleh Ella disambut dengan perasaan teruja oleh sebahagian besar peminatnya selain membuktikan keupayaan wanita ini menakluk Utara tanah air dengan penganjuran konsert kali ini.
Menggunakan jenama Konsert Majlis Tertinggi Rockqueen Ella: Homecoming Edisi 60 Permata Biru, acara ini bakal berlangsung pada 25 Julai hadapan di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Acara ini juga merupakan kesinambungan kepada kejayaan luar biasa edisi terdahulu di Stadium Nasional Bukit Jalil yang telah berjaya menghimpunkan lebih 55,000 penonton, sekali gus membuktikan pengaruh berterusan Ella dalam industri muzik tanah air.
Sebetulnya, edisi kali ini ini membawa signifikan peribadi buatnya memandangkan ia menjadi simbol kepulangan Ella ke negeri kelahirannya.

Bertepatan dengan sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-60 pada bulan Julai nanti, konsert ini dijangka menjadi sebuah detik penuh emosi yang menghubungkan perjalanan seni beliau selama hampir empat dekad dengan tempat asalnya di Utara tanah air.
Dalam pada itu, Ella menyifatkan konsert ini sebagai refleksi kepada perjalanan seninya yang panjang serta platform untuk terus berkongsi nilai murni yang dipegangnya.
Beliau menyatakan bahawa sambutan ulang tahun kelahiran serta hampir empat dekad dalam industri muzik memberikan makna yang mendalam terhadap penganjuran konsert ini, yang dilihat sebagai medium untuk terus menyuarakan mesej ‘Peace Love Rindu’.
Kepulangan ke Pulau Mutiara itu juga disifatkan sebagai satu momen yang sangat dekat di hati, kerana ia bukan sahaja membawa beliau kembali ke tempat asal, tetapi juga mendekatkan dirinya dengan peminat setia yang telah menyokong perjalanan karier seninya sejak awal.
Konsert ini bakal mencatat sejarah tersendiri apabila Ella bakal menjadi artis pertama yang menganjurkan konsert solo di stadium berkenaan, yang turut dikenali sebagai Stadium Batu Kawan.
Lebih daripada sekadar persembahan dan hiburan, Majlis Tertinggi Rockqueen Ella terus berkembang menjadi sebagai sebuah platform yang membawa mesej yang lebih besar buat masyarakat.

Melalui kempen ‘Peace Love Rindu’., konsert ini mengajak para peminat untuk turut sama menjadi sebahagian daripada usaha memberi kembali kepada komuniti.
Setiap pemegang tiket akan diberi peluang untuk mengundi badan kebajikan pilihan mereka, iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Pulau Pinang bagi kategori Peace, Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi tema Love, dan Yayasan Kebajikan Artis Tanahair bagi Rindu.
Sebanyak RM2 daripada setiap tiket yang terjual akan disalurkan kepada kebajikan yang dipilih. Pendekatan ini mencerminkan komitmen berterusan penganjur dan artis untuk menggabungkan elemen hiburan dengan tanggungjawab sosial, sekaligus mewujudkan pengalaman yang lebih bermakna buat semua yang terlibat.
Selaras dengan matlamat konsert ini, harga tiket ditawarkan serendah RM39, satu langkah yang mencerminkan komitmen penganjur untuk memastikan pengalaman ini dapat dinikmati oleh pelbagai lapisan peminat.
Tiket untuk menyaksikan konsert ini boleh didapati menerusi www.hitmanlive.com mulai 8 Mei.



