Gagal Interview Sebab Tak Faham Bahasa Inggeris Dengan Terjemahan Bahasa Melayu Yang Disediakan

Satu hantaran viral di Threads telah menyentuh hati ramai rakyat Malaysia selepas seorang netizen berkongsi pengalaman menyentuh perasaan ketika terserempak dengan sekumpulan pencari kerja muda di pondok pengawal tempat kerjanya.
Kumpulan tersebut, yang dianggarkan antara 15 hingga 20 orang, rupanya gagal dalam ujian temuduga gara-gara tidak memahami bahasa Inggeris.
Menurut individu yang berkongsi cerita itu, dia pergi ke pondok pengawal untuk mengambil pesanan makanan apabila ternampak sekumpulan anak muda berkumpul di luar.
Menyangka mereka hadir untuk temuduga memandangkan syarikatnya sedang membuka pengambilan pekerja, dia mendekati mereka untuk bertanya.
“Ya kak, kami datang interview tapi tak lepas. Kami gagal test. Susah kak, kami tak faham English. Walaupun ada terjemahan Bahasa Melayu di bawah, kami tetap tak faham. Ada soalan matematik juga. Memang susah kak,” ujar pemuda itu.
Jawapan pemuda itu membuatkan dia seketika terdiam. Dia kemudian cuba memberi kata-kata semangat, menyatakan mereka masih ada peluang lain di tempat lain, dan mendoakan mereka berjaya.
Namun, satu ayat yang didengarnya benar-benar memberi kesan mendalam:
“Aku menyesal selalu ponteng sekolah dulu. Sekarang semua nak SPM.”
Ayat itu membuatkan dia termenung. Dia mengakhiri hantaran tersebut dengan satu peringatan.
“Menyesal sebelum buat itu bijak, menyesal selepas buat itu sia-sia. Jadikan ini pengajaran,” katanya.
Perkongsian itu mendapat perhatian ramai, dengan netizen turut berkongsi pengalaman serupa.
Seorang pengguna mendedahkan dia mempunyai seorang staf yang sangat cemerlang dalam kerja dan pernah dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat, namun tidak dapat dinaikkan kerana syarikat menetapkan sekurang-kurangnya kelayakan SPM.
Penulis asal turut berkongsi pengalaman di tempat kerja lamanya, di mana pekerja asing berjaya dinaikkan pangkat daripada operator kepada penyelia dan ketua pasukan kerana sikap rajin, menepati masa dan kesungguhan untuk belajar.
Dalam masa sama, ada pekerja tempatan yang kerap mengambil cuti sakit sehingga tiga hingga empat kali sebulan.
Dalam satu komen susulan, beliau menyentuh sikap segelintir pihak yang memandang rendah kepentingan akademik
“Orang selalu cakap SPM cuma sekeping kertas. Ya, memang sekeping kertas. Tapi kertas itu membawa makna kehidupan. Tanpa kita sedar, kertas itulah yang kita bawa ke mana-mana.
“Mohon kerja, HR akan tanya keputusan SPM. Kalau pernah kerja, mereka akan minta slip gaji. Kalau kerap MC dan ponteng, HR mana berani nak ambil dengan sikap macam itu? Ramai tak faham perkara ini, terutamanya anak muda tempatan,” tulis komen itu.



