“Tidak Boleh Samakan Rumah Tangga Kita Dengan Orang Lain”

Pelakon, Ozlynn Waty, 45, menjelaskan bahawa setiap perkongsian berkaitan rumah tangganya di media sosial bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman hidup yang bersifat umum.
Pemilik nama sebenar Rozlinawaty Ismail berkata, apa yang dikongsikannya sering mendapat maklum balas positif kerana dekat dengan realiti kehidupan masyarakat.
Menurutnya, dia juga sedar ramai mengenalinya sebagai seorang yang lantang dan terbuka dalam menyuarakan pandangan tanpa berselindung.
“Saya tahu ramai anggap saya ini jenis ‘loud’. Kalau saya tidak suka sesuatu perkara, saya akan terus cakap secara jujur. Mungkin sebab itu orang mudah faham apa yang saya cuba sampaikan,” katanya.
Dalam masa sama, Ozlynn menegaskan bahawa apa yang dipaparkan di media sosial hanyalah sebahagian kecil daripada kehidupan sebenarnya.
“Sebenarnya, apa yang orang nampak di media sosial cuma lima hingga 10 peratus sahaja daripada kehidupan saya. Banyak lagi perkara yang orang tidak tahu.
“Saya kongsi bukan sebab mahu menunjuk atau rasa diri lebih baik. Saya pun melalui cabaran seperti orang lain,” ujarnya lagi.
Tambah Ozlynn, dia lebih selesa menyelesaikan masalah secara peribadi berbanding menjadikan media sosial sebagai tempat meluahkan segala perkara.
Isteri kepada pelawak dan pelakon Johan itu turut menekankan kepentingan komunikasi dalam rumah tangga sebagai kunci untuk mengekalkan keharmonian.
Katanya, setiap pasangan mempunyai cara dan perjalanan berbeza, justeru tidak wajar untuk membandingkan hubungan sendiri dengan orang lain.
“Kalau suami jenis suka berkongsi dengan isteri, bagi saya itu tidak ada masalah. Saya dan Johan memang jenis yang saling berkongsi.
“Kita tidak boleh samakan rumah tangga kita dengan orang lain. Setiap pasangan ada cara masing-masing,” katanya.



