“Kalau Saya Saman, Dia Nak Bayar Pakai Apa?”

Pelakon dan usahawan, Zarina Zainuddin, 56, memilih untuk tidak mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas pekerjanya yang didakwa membuat pelbagai tuduhan mengaibkan dirinya di media sosial.
Menurut Zarina, dia mengakui mengenali individu berkenaan yang merupakan bekas pekerjanya, namun enggan mengambil tindakan saman kerana merasakan individu tersebut tidak berkemampuan dari segi kewangan.
“Saya tahu dia sebenarnya adalah bekas pekerja saya yang diberhentikan kerja. Saya tahu dia tiada duit. Kalau saya lawan atau saman dia, dia nak bayar pakai apa? Dia bukan lawan saya.
“Kilang saya ada sijil halal, Mesti dan sebagainya. Saya bukan masak di tepi jalan. Kilang saya bersih. Kalau ada makanan yang rosak dan tercemar, kita akan buang.
“Lagipun kita bukan buat pulut kuning setiap hari. Kita cuma buat kalau ada pesanan dan setiap kali saya sertai festival makanan,” katanya.
Antara dakwaan yang tular termasuk isu tahap kebersihan kilang pulut kuning milik Zarina yang didakwa tidak bersih serta tuduhan kononnya dia menyalahgunakan pinjaman Majlis Amanah Rakyat (MARA) bernilai RM1 juta untuk kepentingan peribadi.
Mengulas dakwaan tersebut, Zarina menegaskan itu adalah urusan perniagaan yang tidak wajar dipertikaikan pihak luar.
“Duit itu adalah urusan syarikat. Dia tak boleh pertikaikan kerana dia tiada kena-mengena dengan syarikat. Tak ada nama dia pun dalam syarikat.
“Pihak MARA sendiri datang lihat kilang kami. Mereka tiada masalah selagi kita bayar. Saya gunakan duit tersebut untuk membeli peralatan kilang.
“Dan setiap bulan saya bayar semula pinjaman. Tiada masalah kecuali kalau tak bayar. Nak dapat pinjaman itu bukan senang. Ada banyak syarat ditetapkan. Walaupun nak meminjam, kita sendiri kena ada kewangan.
“Saya yakin dengan produk saya sendiri. Saya sudah lama dalam industri ini. Saya percaya dengan rezeki Allah. Kalau Allah tetapkan bisnes saya tak laku, maka tak lakulah.
“Tiada apa perlu dirisaukan. Orang yang sudah biasa membeli dan datang ke kilang saya, mereka tahu keadaan sebenar,” ujarnya lagi.



