Belanja RM5,000 Sebulan Cabaran Besarkan 10 Anak

Sepasang suami isteri mencuri perhatian selepas berkongsi bagaimana mereka membesarkan 10 orang anak dengan gaya hidup sederhana yang menekankan tanggungjawab bersama dan hubungan kekeluargaan yang erat.
Pasangan tersebut, Su Youfu, 42 dan Wei Peiling, 37, berkongsi pendekatan keibubapaan, rutin harian serta pengurusan kewangan yang mereka amalkan bersama Sin Chew Daily baru-baru ini.
Menurut laporan, pasangan ini berkahwin pada tahun 2005 dan dikurniakan empat anak pertama antara 2006 hingga 2012 iaitu Junjie, Junwei, Jingen dan Jinghui.
Pada tahun 2016, anak sulung mereka, Junjie, disahkan menghidap leukaemia.
Pasangan ini kemudian membuat keputusan untuk menambah seorang lagi anak, dengan harapan darah tali pusat bayi yang baru lahir, yang mengandungi sel stem dan kadangkala digunakan dalam rawatan leukemia dapat membantu proses pemulihan. Namun, usaha tersebut tidak berjaya.
Namun, Junjie sangat rapat dengan adik tersebut dan memberikan gelaran manja yang masih digunakan keluarga hingga kini. Tidak lama selepas itu, Junjie meninggal dunia.
Kini, pasangan ini membawa anak-anak mereka menziarahi pusara Junjie setiap tahun pada tarikh ulang tahun pemergiannya supaya adik-adiknya terus mengingatinya. Keluarga ini tinggal di kawasan luar bandar di Johor yang dikelilingi ladang kelapa sawit dan turut memelihara arnab di rumah.
Menurut Su, membesar dekat dengan alam semula jadi memainkan peranan penting dalam perkembangan kanak-kanak.
Katanya, hubungan dengan alam adalah hadiah terbaik untuk anak-anak kerana ia membantu merangsang kreativiti serta menyokong perkembangan fizikal dan mental.
Anak-anak mereka juga menjana sedikit pendapatan dengan mengutip buah kelapa sawit dari ladang milik saudara atau keluarga.
“Anak-anak yang lebih tua akan membimbing yang lebih muda, dan wang hasil jualan akan dikongsi untuk membeli barang yang mereka suka,” kata Su.
Tambahnya, ini membantu mereka memahami nilai wang.
Dari segi disiplin, Wei berkata beliau lebih memilih pendekatan komunikasi berbanding hukuman fizikal kerana percaya ia boleh memberi kesan jangka panjang terhadap emosi anak-anak.
Dari segi perbelanjaan, pasangan ini membelanjakan lebih RM5,000 sebulan untuk yuran pendidikan, makanan, susu formula dan utiliti. Lima daripada anak yang lebih kecil masih bergantung kepada susu formula.
“Kami menggunakan lebih 20 tin susu setiap bulan, dan setiap tin biasanya habis dalam masa kurang dua hari,” kata Su.
Dia juga berkongsi bahawa pada satu ketika, mereka mempunyai lebih daripada sedozen botol susu di rumah.
Su turut menceritakan yang dia akan bangun pada waktu malam untuk menyediakan susu bagi memberi peluang isterinya berehat.
Dengan kehamilan anak ke-10 dan faktor usia, pasangan ini merancang untuk tidak menambah anak selepas ini.
Menurut laporan, Wei bercadang menjalani prosedur selepas bersalin bagi mengelakkan kehamilan pada masa hadapan.



