Viral

Wanita Bengang Tak Dilayan di JPJ Kerana Baju Tanpa Lengan

Seorang wanita mendakwa dirinya menjadi mangsa satu lagi kes penguatkuasaan kod pemakaian ketika dia menjalankan urusan di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Bandar Permaisuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam satu hantaran di Facebook, wanita bernama Adeline itu berkata, dia diarahkan untuk menutup bahagian lengannya kerana memakai baju tanpa lengan yang dikatakan melanggar kod pemakaian.

Situasi itu membuatkan dia berasa kecewa dan marah.

“Tak rasa ke ini mengarut? Tolong ubah undang-undang lapuk ini. Saya bukan pakai spaghetti strap atau pakaian yang terlalu mendedahkan,” katanya.

Dia juga mendakwa, di ruangan komen, seorang lelaki turut diberikan kain sarung kerana didapati melanggar kod pemakaian.

Dalam temu bual bersama WeirdKaya, Adeline berkata, dia ketika itu sedang hendak mengimbas kod QR untuk mendapatkan nombor giliran apabila seorang pegawai dan pengawal keselamatan menegur pakaiannya.

“Apabila pegawai bertanya sama ada saya ada jaket, saya jawab tiada kerana saya fikir memakai seluar panjang sudah memadai. Lagipun, saya pakai baju tanpa lengan kerana cuaca panas.

“Pegawai itu kemudian berkata dia tidak boleh melayan saya kerana pakaian saya. Saya jadi marah sebab sudah harungi kesesakan pagi semata-mata untuk sampai ke pejabat JPJ pada pukul 8.30 pagi,” katanya.

Adeline turut berkata, apabila dia memaklumkan mahu membuat aduan, pegawai tersebut menyuruhnya berbuat demikian sambil menegaskan bahawa dia hanya mengikut prosedur operasi standard (SOP) di pejabat kerajaan.

Bagaimanapun, Adeline akhirnya berjaya mendapatkan nombor giliran dan tidak perlu meminjam pakaian luar suaminya untuk menutup dirinya.

Dalam hantaran tersebut, dia turut menandakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, namun setakat ini tiada sebarang maklum balas daripada beliau mahupun pihak JPJ.

Related Articles

Back to top button